Anda di sini

Suasana pilu selubungi upacara pengebumian Sarjan Bayong

Advertisement

SRI AMAN: Suasana pilu serta tangisan isteri, anak-anak serta saudara-mara menyelubungi Tanah Perkuburan Kristian Anglican Sutong, Sri Aman pada upacara pengebumian mendiang Sarjan Bayong Burma di sini pagi semalam.

Terdahulu, keranda Bayong diusung dari kediamannya di Taman Desa Indah, Sri Aman oleh anggota tentera 4 Armor Diraja Kem Penrissen, Kuching sebelum upacara pengebumian di tanah perkuburan itu kira-kira jam 10 pagi.

Sebaik selesai upacara sembahyang, anggota tentera 4 Armor Diraja kemudiannya menurunkan jenazah mendiang ke dalam kubur dan seterusnya diberi tabik hormat ketenteraan kira-kira jam 10.30 pagi.

Isteri mendiang, Grace Garang, 31, sambil ditemani tiga anaknya, Aldraien Mark, 11, Benedict Moses, 8, dan Casper Tukas, 10 bulan, dilihat tidak dapat menahan sebak apabila menyaksikan mayat mendiang diturunkan ke lubang kubur.

Turut hadir memberi penghormatan terakhir kepada mendiang yang berasal dari Tintingkah, Batu Lintang, Undop ialah Pegawai Memerintah 4 Armor Diraja Kem Penrissen Kuching, Leftenan Kolonel Shahruddin Ariffin.

Bayong, 36, maut setelah kereta perisai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang dinaikinya bersama tiga anggota tentera terbalik di kilometer 232, Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah Selatan di Kuala Kangsar, Perak baru-baru ini.

Koperal Che Muhammad Fatanah Che Ismail Mohd, 31, turut meninggal dunia dalam kemalangan tersebut manakala Lans Koperal Freedy Banabas, 29, dan Koperal Mohd Syarifudin Abdullah, 36, pula mengalami kecederaan.

Semua mangsa dilaporkan dalam perjalanan untuk menjalani latihan menembak di Alpha Kem Skuad Ron Rejimen Ke-3 Kor Amor Diraja Kem Lapangan Terbang Sungai Petani ke Kem Syed Sirajuddin di Gemas, Negeri Sembilan.

Advertisement