Anda di sini

Sesi lapangan geologi bersama pakar geologi pada 12 Julai

Advertisement

KUCHING: Persatuan Pencnita Alam Cawangan Kuching (MNS Kuching) akan menganjurkan satu sesi lapangan geologi bersama seorang pakar geologi pada 12 Julai ini.

Sehubungan itu, MNS Kuching menerusi kenyataan akhbarnya baru-baru ini, mempelawa mereka yang berminat untuk menjadi ahli geologi sehari tampil menyertai program tersebut nanti.

Menurut jurucakap MNS Kuching, sesi itu akan bermula dari pintu masuk Taman Negara Santubong sekitar jam 8.45 pagi dengan pendaftaran peserta dan taklimat keselamatan dijangka tamat pada jam 12.30 tengah hari.

“Peserta sesi lapangan geologi ini akan berpeluang mengetahui bagaimana batu-batu membentuk, jenis-jenis batu yang terdapat di kawasan Santubong serta berapa lama batu-batu tersebut telah berada disitu.

“Sesi lapangan ini melibatkan perjalanan ke air terjun utama di Santubong yang akan mengambil masa kira-kira 45 minit.

“Sesi ini juga sesuai untuk mereka yang tidak begitu cergas dan ibu bapa dengan kanak-kanak umur lapan tahun dan ke atas.

“Bagaimanapun, MNS Kuching tidak bertanggungjawab atas kemalangan atau sesiapa sahaja yang meninggalkan kumpulan untuk bersiar-siar di dalam hutan dengan sendiri.

“Ibu bapa dikehendaki mengawasi anak-anak mereka dan prihatin terhadap tanah dan batu licin,” kata MNS Kuching.

Sesi lapangan itu merupakan antara aktiviti yang dianjurkan sempena Pesta Alam Santubong atau Santubong Nature Festival (SNF) yang akan berlangsung pada bulan November tahun ini.

SNF merupakan aktiviti tahunan anjuran bersama MNS Kuching dan Permai Rainforest Resort dengan sokongan Dewan Bandaraya Kuching Utara.

Mengenai pemilihan Gunung Santubong, ia merupakan kawasan yang penuh dengan sejarah dan telah diwartakan oleh kerajaan negeri sebagai sebuah taman negara.

Gunung ini membentuk teras Semenanjung Santubong, yang terletak di muara sungai Santubong, 20 km ke utara Kuching.

Lereng gunung yang kebanyakannya diselubungi hutan ‘dipterocarp’ tanah rendah, juga mempamerkan habitat kerengas dan tanah berpasir.

Pokok-pokok yang mudah dilihat di sepanjang aliran sungai di hutan kerangas termasuk pokok selunsor (Tristaniopsis sp.).

Geologi Gunung Santubong, batu pasir atau sandstone merupakan antara jenis batu sedimen yang paling kerap dijumpai.

Sandstone mula membentuk apabila pasir menimbun dan seterusnya membentuk lapisan dalam sungai atau di mulut sungai dan dalam air laut cetek.

Sandstone di Santubong terdiri terutama daripada lapisan tebal (setengah meter hingga beberapa meter tebal).

Ahli geologi daripada Jabatan Kaji Bumi Malaysia telah mengkaji pembentukan batu di kawasan Semenanjung Santubong dan laporan mereka telah diterbitkan dalam: Tan, DNK (1993) ‘Geology of the Kuching Area, West Sarawak, Malaysia. Geological Survey of Malaysia, Report 16’.

Justeru, orang ramai yang berminat menyertai sesi lapangan geologi pada 12 Julai boleh mendaftar dengan menghantar e-mel kepada [email protected], atau dengan menghubungi pengerusi penganjur SNF Vincent Wong di talian 013-8020005 atau setiausaha acara, Lim Sin Shin, 014-9903335. Penyertaan adalah terhad.

Advertisement