Anda di sini

Schweinsteiger cetus perang minda

Advertisement

Bintang Bayern itu gesa pengadil beri perhatian kepada Brazil selepas 59 kekasaran dari dua perlawanan

BELO HORIZONTE, Brazil: Jerman akan berdepan dengan kelasakan pasukan tuan rumah Brazil pada pertembungan dua gergasi separuh akhir Piala Dunia 2014 dengan Brazil terdesak untuk memenangi kejuaraan untuk bintang penyerangnya yang cedera, Neymar, hari ini (awal pagi Rabu waktu Malaysia).

Jerman, yang dibimbing Joachim Loew, mahu menebus kekalahan pada final Piala Dunia 2002 kepada Brazil dengan menyingkirkan pasukan tuan rumah di Belo Horizonte untuk melangkah ke final di Rio de Janeiro Ahad depan.

Brazil terpaksa melakukan rombakan kerana kehilangan khidmat Neymar dan kapten pasukan, Thiago Silva yang digantung perlawanan, ketika mereka mengimpikan kejuaraan dunia buat kali keenam di tanahair mereka sendiri.

Seluruh negara sedih dengan nasib malang Neymar selepas pemain berusia 22 tahun itu mengalami satu keretakan di tulang belakang Jumaat lepas ketika kemenangan ke atas Colombia tetapi pasukan Jerman lebih suka sekiranya pemain itu dapat beraksi.

“Ia sentiasa lebih baik apabila lawan mempunyai semua pemain terbaik mereka, kerana ia hanya akan menyatukan pasukan dan mereka mahu memenangi kejuaraan dunia untuk beliau (Neymar),” kata pemain tengah Jerman, Bastian Schweinsteiger.

Brazil menerima padah di atas layanan keras ke atas penyerang Colombia, James Rodriguez menyebabkan permainan bertukar lasak sebelum kekasaran Juan Zuniga dari belakang ke atas Neymar menyebabkan pemain itu kini terlantar di hospital.

“Neymar menetapkan standard untuk kami. Beliau berupaya menentukan mana-mana perlawanan, jadi bermain tanpa beliau pastinya sukar,” kata rakan sepasukannya, Willian.

“Kami tahu kualiti yang kami ada. Kami semua sangat sedih kehilangannya tetapi kami sekarang lebih kuat selepas apa yang berlaku dan kami boleh meneruskan pemburuan impian kami.”

Willian atau Bernard, menjadi calon untuk menggantikan Neymar pada perlawanan menentang Jerman.

Schweinsteiger memulakan perang minda apabila menegaskan pengadil harus memberikan perhatian kepada Brazil, yang melakukan 59 kekasaran dari dua perlawanan terakhir, berbanding hanya 29 yang di l akuka n oleh Jerman dalam dua perlawanan.

“Brazil bukan pasukan yang l ama , pasukan ini sudah berubah dan begitu juga dengan corak permainan mereka,” kata beliau.

“Terjahan keras sememangnya sebahagian dari permainan mereka, ia sesuatu yang harus kami awasi dan begitu juga pengadil.”

Apa yang menarik untuk dua kuasa besar bola sepak dunia, dengan 24 penampilan di separuh akhir di antara mereka, ini merupakan pertemuan kedua mereka dalam pertandingan ini selepas final 2002.

“Ia satu penghormatan dan satu cabaran untuk bermain menentang pasukan tuan rumah, tetapi ia pastinya lebih bagus untuk menentang Brazil di final,” kata Schweinsteiger.

“Ia tidak penting berapa banyak pengalaman yang anda ada, untuk bermain di negara gilakan bola sepak ini adalah sesuatu yang istimewa.”

Selepas sudah menyamai rekod bintang legenda Brazil, Ronaldo, dengan 15 gol di Piala Dunia, penyerang veteran Jerman, Miroslav Klose boleh menjadi penjaring terbanyak sekiranya menjaringkan gol ketika menentang Brazil.

Penyerang berusia 36 tahun itu diturunkan dalam kesebelasan utama ketika Jerman menewaskan Perancis 1-0 pada perlawanan suku akhir dengan Thomas Mueller diletakkan di posisi sayap.

Dengan Silva tidak dijangka dapat diturunkan, Jerman mungkin berdepan dengan Dante, yang boleh membantu kedua-dua pasukan, kata Schweinsteiger.

“Saya berharap beliau (Dante) diturunkan kerana kami sangat mengenali kekuatan dan kelemahannya, tetapi beliau juga tahu cara kami bermain,” kata Schweinsteiger ketika bercakap tentang rakan sepasukannya di Bayern Munich itu.

Jerman terdesak untuk menamatkan kemarau 24 tahun kejuaraan dunia dan memenangi trofi buat kali keempat sementara mereka juga mahu mengelak untuk kekalahan, yang bermakna mereka akan bermain buat kali ketiga berturut-turut untuk memburu penentuan tempat ketiga. — AFP

Advertisement