Anda di sini

Saya tidak dapat merasai kaki saya: Neymar

Advertisement

MADRID, Sepanyol: Penyerang antarabangsa Brazil, Neymar, meraung ‘saya tidak dapat merasai kaki saya’ selepas terjahan keras oleh pemain Colombia, Juan Zuniga semasa perlawanan suku akhir Piala Dunia 2014, menurut jurulatih Brazil, Luiz Felipe Scolari ketika memberitahu akhbar sukan harian Sepanyol, Marca.

Scolari berkata keseluruhan pasukan panik selepas kekasaran dari belakang itu Jumaat lepas.

Pemain pertahanan kiri Brazil, Marcelo, adalah pemain pertama menghampi r i Neymar, yang mengalami kecederaan retak satu tulang belakang dan menyebabkan pemain itu tidak dapat beraksi untuk baki kejohanan.

Marcelo melutut di sebelah Neymar dan bertanya keadaannya, menurut Scolari.

“Beliau menjawab: ‘saya tidak dapat merasai kaki saya,’” tambah Scolari.

Marcelo memanggil doktor pasukan tetapi doktor tidak dibenarkan masuk tanpa kebenaran pengadil.

“Marcelo berasa takut dan memanggil doktor untuk masuk tetapi doktor tidak masuk kerana keliru. Ia satu kejutan besar, melihat gambar Neymar diusung naik ke helikopter, ia sangat sukar sekali untuk membayangkannya,” kata Scolari.

Doktor pasukan, Jose Luiz Runco berkata panggilan Marcelo untuk doktor menyebabkan rasa panik selepas kekasaran itu.

“Kami kehilangan seorang pemain yang kami tidak mahu hilang menjelang perlawanan separuh akhir dan final,” kata Scolari.

Neymar diusung keluar pada minit ke- 88 dan diterbangkan ke hospital di mana keretakan pada tulang belakang beliau telah disahkan.

Penyerang kelab Barcelona berusia 22 tahun itu sudah mampu berjalan sedikit tetapi doktor pasukan, Rodrigo Lasmar ada berkata pemain itu memerlukan masa sehingga enam minggu untuk pulih.

Badan induk bola sepak dunia, FIFA, melakukan siasatan ke atas kekasaran yang dilakukan oleh Zuniga dan mungkin akan berdepan tindakan.

Pemain pertahanan itu sudah meminta maaf tetapi menegaskan perbuatannya bukan disengajakan. — AFP

Advertisement