Anda di sini

Rebut peluang perniagaan yang luas: Tengah

Advertisement

Oleh Hamimi Kassim //

RASMI: Awang Tengah melakukan simbolik perasmian Jualan Mega Perabot Hari Raya dengan memotong reben di d’Galeri Perbadanan PUSAKA, Jalan Satok, semalam.

Pengusaha perabot harus berani, bijak rebut peluang dalam pasaran domestik, antarabangsaKUCHING: Pengusaha perabot kayu di negeri ini diminta agar lebih berani dan bijak merebut peluang perniagaan yang luas, bukan hanya dalam pasaran domestik malah di peringkat antarabangsa.

Menteri Pembangunan Perindustrian Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, ini kerana potensi dan kelebihan yang ada pada perabot kayu Sarawak seperti rekaannya yang cantik serta harga berpatutan berbanding negeri dan negara lain perlu diketengahkan sepenuhnya.

“Pada tahun lepas (2013), Malaysia mencatat nilai eksport perabot kayu berjumlah RM5.7 bilion.

“Daripada jumlah tersebut, Sarawak hanya menyumbang RM30 juta atau 0.5 peratus sahaja berbanding RM50 juta (0.9 peratus) bagi Sabah dan RM5,660 juta (98.6 peratus) bagi Semenanjung Malaysia dan jumlah tersebut dilihat masih terlalu kecil.

“Justeru, kita mengharapkan lebih ramai pengusaha perabot kayu mengambil peluang dan memperbesarkan lagi pasaran mereka kerana produk kayu Sarawak bukan sahaja cantik malah lebih murah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa sidang media selepas Majlis Perasmian Jualan Mega Perabot Hari Raya di d’Galeri Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA), Jalan Satok di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Awang Tengah yang juga Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua merangkap pengerusi Lembaga Pengurusan PUSAKA mencadangkan agar pengusaha perabot kayu di negeri ini menyertai ekspo produk kayu yang diadakan di dalam mahupun luar negara.

Dengan itu katanya, pengusaha akan mendapat pendedahan mengenai kehendak pasaran semasa pada masa kini sekali gus dapat mempromosi produk kayu khasnya perabot kepada masyarakat luar.

Dalam pada itu, beliau memberitahu bahawa kerajaan melalui PUSAKA akan meneruskan usaha membangunkan pengusaha dan usahawan tempatan melalui Program Pembangunan Vendor yang menyokong dan menyediakan mereka dengan kemudahan pembuatan asas, nasihat teknikal, promosi dan aktiviti pemasaran.

Pada majlis tersebut, Awang Tengah turut menyaksikan Majlis Menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara PUSAKA dan Samling Home Products Sdn Bhd.

Jualan mega tersebut  merupakan acara tahunan PUSAKA sempena sambutan Hari Raya dan berlangsung dari 25 Jun hingga 26 Julai depan yang dibuka setiap hari pada jam 10 pagi hingga 9.30 malam.

Hadir sama ialah Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Pembangunan Usahawan Bumiputera) Datuk Mohd Naroden Majais dan Menteri Muda Pembangunan Perindustrian (Pelaburan dan Promosi) Datuk Julaihi Nawawi.

Advertisement