Anda di sini

MPP berusaha gigih bangunkan masyarakat

Advertisement

Oleh Agnes Tugong //

PBT ini tiada halangan bekerjasama dengan masyarakat setempat anjur program dan aktiviti kemasyarakatan

KUCHING: Majlis Perbandaran Padawan (MPP) tiada halangan untuk bekerjasama dengan masyarakat setempat dalam penganjuran program mahupun aktiviti kemasyarakatan.

Sebagai Pengerusi MPP Lo Khere Chiang berjanji akan bekerja lebih gigih dan cuba semampu mungkin untuk membawa pembangunan kepada masyarakat.

Justeru beliau berharap masyarakat di bawah pentadbiran MPP akan terus memberi sokongan kepada pihak majlis di bawah kerajaan sedia ada iaitu Barisan Nasional (BN).

“Pada Pilihan Raya Negeri lepas, kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Kawah telah jatuh ke tangan pembangkang. Meskipun demikian sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) yang bertanggungjawab ke atas kawasan ini peranan MPP tetap berjalan seperti biasa.

“Justeru, saya berharap pada Pilihan Raya Negeri akan datang, kerajaan BN akan dapat memenangi semula kerusi ini demi kepentingan dan kesejahteraan bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Gawai Tematu 2014 dan Bitanding Dayung Gawea Tematu 2014 malam Sabtu lalu.

Majlis dua dalam satu itu telah berlangsung di Dewan Serba Guna Kelab Rekreasi Pengguna dan Pengurusan Dewan Serba Guna Kampung Tematu dekat sini.

Mengulas mengenai majlis itu, Lo yang menyambut baik penganjuran majlis itu berkata ia merupakan satu inisiatif yang baik oleh penganjur.

Majlis seumpama ini bukan sahaja mampu memelihara adat dan budaya masyarakat Bidayuh malah katanya mampu mengeratkan perpaduan di kalangan masyarakat berbilang kaum di negeri ini.

“Pihak penganjur ada mencadangkan supaya majlis ini dianjurkan secara bersama dengan MPP pada tahun akan datang.

“Sebagai pengerusi MPP saya berpendapat bahawa ia merupakan satu cadangan yang baik dan MPP bersedia untuk menjalinkan kerjasama ini,” ujarnya.

Sementara itu pengerusi pengelola, John Pata berkata majlis julung kalinya ini mendapat sokongan dan kerjasama daripada pelbagai pihak.

Antaranya Menteri Kanan merangkap Menteri Kemajuan Tanah Tan Sri Datuk Amar James Masing telah menyumbang sebanyak RM2,000 manakala Senator Prof Dr Sim Kui Hian telah menyumbang sebanyak RM1,000.

Majlis ini turut mendapat tajaan daripada Guiness Anchor Berhad (GAB), Nestle Products Sdn Bhd dan Lee Fah Mee Sdn Bhd.

Turut menjayakan majlis  ialah MPP, Tabung Darah Hospital Umum Sarawak (HUS), Radio Televisyen Malaysia (RTM) Kuching dan Bung Bratak Cultural Group.

Advertisement