Anda di sini

Dua lelaki ditahan bantu siasatan kes rompak dan mencederakan mangsa

Advertisement

KUCHING:  Dua lelaki dari Kampung Tabuan Melayu di sini, ditahan bagi membantu siasatan kes rompak di Tabuan Desa yang menyebabkan seorang wan­ita cedera parah akibat ditetak dengan pisau pemotong daging.

Tangkapan itu dilakukan oleh pasukan khas Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Kuching, petang kelmarin.

Difahamkan, polis turut merampas beberapa barangan seperti komputer riba dan telefon bimbit.

Timbalan Ketua Polis Daerah (KPD) Kuching ACP Superintenden Fauzilan Abdul Aziz memberitahu, maklumat lanjut berhubung tangkapan itu akan dikeluarkan pada sidang media yang akan diadakan tidak lama lagi.

Pada 18 Jun lalu, mangsa sedang menjaga cucu kembarnya yang sedang tidur sekitar 10 pagi.

Menurut anak mangsa, seorang lelaki tidak dikenali memasuki rumah mereka melalui pintu belakang dan terus mengambil pisau pemotong daging di dapur lalu menyerang mangsa di ruang tamu.

“Ibu saya memberitahu dia tidak melawan suspek tetapi mungkin kerana takut suspek terus menyerang ibu saya dengan menetak kepala dan mukanya.

“Mujur kedua-dua anak saya yang baharu berusia dua bulan menangis menyebabkan adik saya yang berada di bilik tidurnya segera keluar untuk memeriksa keadaan, namun ketika itu suspek telah melarikan diri,” ujarnya.

Tambahnya, ibunya yang berlumuran darah sempat memeriksa dan memastikan kedua-dua cucunya selamat sebelum dia rebah dan tidak sedarkan diri.

“Semasa adik saya menghampiri mereka, dia (mangsa) memberitahu yang mereka telah dirompak dan mengingatkan adik saya untuk memberikan susu kepada kedua-dua cucunya itu sebelum dia pengsan,” katanya.

Menurutnya lagi, adiknya kemudian meminta bantuan jiran mereka untuk menghubungi pihak polis dan ambulans.

Mangsa yang parah dikejarkan ke sebuah hospital berdekatan sebelum dirujuk ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk rawatan lanjut dan dilaporkan stabil sehingga berita ini ditulis semalam.

Suspek yang dipercayai bersama seorang lagi rakan subahatnya turut melarikan dua unit telefon bimbit dan komputer riba dari rumah mangsa.

Advertisement