Anda di sini

Dialog Agenda Pembangunan Selepas Tahun 2015 di Kuching

Advertisement

KUCHING: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Malaysia dengan kerjasama Unit Perancangan Ekonomi (EPU) di Jabatan Perdana Menteri telah mengadakan dialog mengenai Agenda Pembangunan Selepas Tahun 2015 di sebuah hotel terkemuka di sini semalam.

Agenda Pembangunan Selepas Tahun 2015 atau ‘Post-2015 Development Agenda’ merupakan proses dasar antara kerajaan utama yang pertama di PBB yang telah dimasukkan ke dalam tempat perundingan global yang menyeluruh menjangkau sejumlah besar orang terpinggir di dunia.

Perundingan global ini turut melibatkan pembuat dasar, ahli akademik, pakar isu, pemimpin perniagaan, aktivis masyarakat sivil dan warganegara yang berminat dalam perbualan tentang masa depan kita bersama.

Pada pembukaan perundingan kebangsaan di sini semalam, Koordinator Residen PBB Michelle Gyles–McDonnough yang juga wakil UNDP Malaysia, Singapura dan Brunei berkata, Post-2015 Development Agenda merupakan usaha yang diketuai oleh PBB.

Untuk pertama kalinya agenda pembangunan ini benar-benar menyuntik suara kita  rakyat dalam perancangan pembangunan dan membuat keputusan selari dengan aspirasi Setiausaha Agung PBB Ban Ki-Moon, menjadikan proses pembangunan global paling inklusif dunia pernah diketahui.

“Kumpulan Pembangunan PBB (UNDG) baru-baru ini melancarkan satu lagi pusingan perundingan mengenai ‘Post-2015 Development Agenda’ di 50 negara, fokus kepada isu-isu pelaksanaan atau bagaimana untuk memastikan pelaksanaan efektif matlamat pembangunan global.

“Perbincangan di Malaysia merupakan sebahagian daripada perundingan global yang bermatlamat fokus kepada proses global dalam realiti kebangsaan dan akses kepada matlamat pembangunan lestari yang relevan,” katanya.

Perundingan kebangsaan yang pertama telah diadakan di Kuala Lumpur pada 2 dan 3 Julai dan telah menarik penyertaan hampir 170 peserta daripada kerajaan, masyarakat sivil, ahli akademik, pertubuhan bukan kerajaan dan sektor swasta.

Perundingan di sini berlangsung dua hari iaitu pada 7 dan 8 Julai disusuli dengan Sabah minggu depan pada 14 hingga 15 Julai 2014.

Untuk dialog yang berkesan, kaedah ‘Open Space Technology’ (OST) digunakan yang membolehkan dialog tulen mengenai isu-isu yang orang minat.

“Kaedah ‘open space’ membolehkan setiap peserta dalam mesyuarat bersama mewujudkan agenda mesyuarat dan mempunyai pilihan mengenai cara apa mereka menyertai mesyuarat ini.

“Kaedah ini telah digunakan buat pertama kalinya oleh PBB dan EPU di Kuala Lumpur baru-baru ini dan menerima maklum balas positif daripada peserta,” ujar Gyles-McDonnough.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Am (Polisi), EPU Jabatan Perdana Menteri Nik Azman Nik Abdul Majid dan lain-lain.

Advertisement