Anda di sini

Bubur pedas banyak khasiat, kata Norsiah

Advertisement

Oleh Borhaniza Ali Basah //

LARIS: Norsiah dan suaminya menjual induk bubur pedas yang sentiasa laris di Sibu.

‘BUBUR pedas’ merupakan salah satu jenis juadah makanan yang tidak asing lagi bagi masyarakat Sarawak sejak dahulu.

Sajian ini sering kali menjadi santapan utama ketika menjelang Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri.

Tidak kurang juga, ia disajikan semasa menyambut hari-hari penting lain di Sarawak.

Menyentuh mengenai asal usul bubur pedas ini, ia dikatakan berasal dari Kalimantan Barat dan juadah ini merupakan makanan khas masyarakat Melayu Sambas.

Bubur pedas bukan hanya ada di Sambas, malah di kawasan lain juga menyukainya seperti di Pontianak, Singkawang, Mempawah dan Bengkayang yang terletak sekitar kawasan Kalimantan.

Norsiah Adeni dari Kampung Nangka Sibu merupakan salah seorang pengusaha bubur pedas yang kini masih gigih menghasilkan ramuan utama – ‘induk’ bubur pedas.

TINGGAL SEDIKIT: Norsiah menunjukkan induk bubur pedas hampir habis dijual.

Beliau berpengalaman hampir 30 tahun menghasilkan induk bubur pedas menceritakan bahawa ramuan membuat bubur pedas itu dipelajari daripada ibunya.

Katanya, bahan-bahan utama membuat induk bubur pedas terdiri daripada beras, kelapa parut, pelbagai rempah ratus, bawang merah, bawang putih dan lain-lain lagi.

Menurut Norsiah, daun tebuas merupakan salah satu bahan penting menghasilkan induk bubur pedas kerana daun tebuas diguna menaikkan aroma bubur pedas selain menambah rasanya.

Beliau yang turut menjual induk bubur pedas berkata, semasa bulan puasa permintaan terhadap induk bubur pedas sangat tinggi daripada orang ramai.

“Semasa musim bulan puasa begini, ramai yang datang ke rumah untuk membeli induk bubur pedas.

“Untuk sebulan, pendapatan saya perolehi dengan menjual induk bubur pedas ini lebih kurang RM600 sebulan iaitu setiap 30 kilogram induk bubur pedas,” katanya.

Norsiah menghasilkan dan menjual induk bubur pedas di rumahnya sahaja. Jika ada pelanggan berminat mereka terus ke rumahnya bagi mendapatkan induk bubur pedas.

Bagi setiap bekas kontena plastik, induk bubur pedas dijual dengan harga RM20.

“Bubur pedas banyak khasiat kerana dibuat daripada pelbagai rempah ratus yang boleh mengubati pelbagai penyakit dalaman,” katanya.

Advertisement