Anda di sini

Aneka juadah istimewa di bazar Ramadan Betong

Advertisement

Sumbangan Saleman Senin //

PELBAGAI juadah istimewa dijual peniaga bazar Ramadan Betong tahun ini untuk membolehkan pengunjung dan pelanggan mereka menikmati keenakan masakan masyarakat Betong.

Masyarakat Melayu Betong yang sinonim dengan masakan yang pelbagai diterjemahkan dalam makanan yang dijual sempena Ramadan setiap tahun.

Pelbagai jenis dan rasa masakan menggoda pelanggan yang bukan sahaja terdiri dari umat Islam yang berpuasa, malah mereka yang bukan Islam juga enggan ketinggalan membeli juadah pelbagai jenis disediakan sempena Ramadan.

Jurucakap Tapak Niaga Majlis Daerah Betong (MDB) menyarankan kepada peniaga agar memelihara kebersihan dalam memastikan makanan yang dijual mencapai kehendak dan keperluan pelanggan.

Beliau berkata, Ramadan kali ini mereka menyediakan dua tapak bagi peniaga menjual juadah berbuka puasa.

“Dua tapak disediakan untuk peniaga di Betong menambah pendapatan mereka sepanjang bulan Ramadan iaitu di pekarangan Stesen Bas Lama di bandar Betong dan di Tapak Niaga Medan, bersebelahan terminal bas.

“Kita menyediakan tempat tersebut atas permintaan peniaga,” kata jurucakap tersebut.

“Sebenarnya kita telah menyediakan tempat di Tapak Niaga Tamu Medan untuk peniaga pada tahun ini tetapi setengah daripada mereka mendesak untuk membuka tapak di tapak lama di Stesen Bas Lama.

“Jadi kita menurut kehendak mereka,” jelasnya.

“Untuk kali ini kita tetapkan harga RM100 semeja sepanjang bulan puasa ini, selain menyediakan meja dan khemah bagi yang mendaftar kepada kami.

“Terdapat 30 meja bagi peniaga di Stesen Bas Lama dan 24 meja di Tapak Niaga Tamu Medan,” katanya.

Sementara itu, para peniaga di tapak Stesen Bas Lama ketika ditemui memberi alasan pengunjung sebagai faktor utama mereka mahu kekal di tapak tersebut yang merupakan tapak asal dan sinonim kalangan masyarakat Betong membeli juadah berbuka.

“Memang diketahui semua bahawa tapak ini adalah tempat kami berniaga dan pelanggan lebih mudah untuk berkunjung ke sini kerana tidak terlalu jauh dari pusat bandar, malah kami juga mudah membawa barangan jualan ke sini.

“Selain itu, peniaga lain juga mudah untuk datang ke sini berniaga di mana pada sebelah pagi mereka berniaga di pasar tamu dan hanya berjalan kaki untuk membawa hasil jualan mereka ke sini,” jelas mereka.

Pendirian ini berbeza daripada pandangan peniaga di Tapak Niaga Tamu Medan yang mahu meneruskan hasrat MDB yang ingin memperkenal tapak tersebut kepada pengunjung.

“Kami mengalu-alukan usaha pihak MDB yang bukan sahaja menyediakan kemudahan dan kawasan yang lebih selesa malah pelanggan lebih senang untuk datang kerana kemudahan tempat letak kereta yang banyak.

“Jika semua peniaga bazar Ramadan di Betong berniaga di sini, kita mungkin dapat meminta kemudahan yang lebih selesa daripada MDB yang menganjurkan tapak niaga untuk kami,” tambah seorang peniaga.

“Apa yang pasti kerjasama semua pihak dalam memajukan perniagaan kita biarpun secara kecil-kecilan dan mencari sumber pendapatan tambahan sepanjang Ramadan untuk perbelanjaan Hari Raya yang bakal disambut kelak,” tambahnya lanjut.

Advertisement