Anda di sini

Promosi Kraf Aidilfitri 2014 sasar jualan RM200,000

Advertisement

Oleh Rusnan Mustafa //

Galak umat Islam rai Aidilfitri guna produk kraf tempatan

KUCHING: Promosi Kraf Aidilfitri 2014 yang diadakan di Pusat Beli Belah Plaza Merdeka di sini selama 10 hari bermula semalam menyasarkan kutipan hasil jualan sebanyak RM200,000.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Pembangunan Usahawan Bumiputera) Datuk Naroden Majais berkata, sasaran itu ditetapkan ekoran pencapaian baik promosi kraf yang dianjurkan sebelum ini.

“Acara ini merupakan program tahunan yang kita anjurkan bersama Kraftangan Malaysia dalam usaha kita menggalakkan masyarakat tempatan di Sarawak mengindahkan sambutan dan perayaan Aidilfitri dengan menggunakan produk kraf tempatan.

“Justeru, pada tahun ini kita menyasarkan RM200,000 kutipan jualan sepanjang 10 hari promosi kraf diadakan di sini,” katanya pada sidang media sempena Promosi Kraf Aidifitri 2014 di Plaza Merdeka di sini semalam.

Naroden yang juga Menteri Muda Perancangan Sumber memberitahu pada tahun 2012, promosi kraf mencatatkan kutipan sebanyak RM67,000.

“Jumlah kutipan ini meningkat pada tahun 2013 iaitu semasa penganjuran di Sibu melibatkan 12 usahawan kita berjaya mengutip RM132,000 dan di Miri pula melibatkan 32 usahawan RM433,000 dan di Kuching sebanyak RM203,000 yang melibatkan 23 usahawan tempatan,” dedahnya.

Malah, jelasnya, pada tahun lepas menerusi acara-acara promosi kraf yang diadakan, pihaknya berjaya mengutip hasil keseluruhan melebihi RM1 juta.

Mengulas lanjut mengenai Promosi Kraf Aidilfitri 2014, beliau memberitahu ia dibuka dari jam 10 pagi hingga 10 malam di Pearl Street, Plaza Merdeka.

Jelasnya, antara produk jualan yang ada pada promosi kraf itu, hadiah dan cenderahati, hiasan dalaman, aksesori, perhiasan diri, busana Aidilfitri, kuih, biskut dan kek raya.

“Promosi Kraf ini disertai 20 usahawan dari Sarawak dan Sememanjung Malaysia dalam pelbagai bidang iaitu tekstil, hasil rimba, hasil tanah, logam dan aneka kraf.

“Selain jualan aktiviti lain yang diadakan, demonstrasi kraf melibatkan sulaman cabut, sulaman keringkam serta pembuatan songkok dan ‘polymer clay’ untuk aksesori,” tambahnya.

Menurutnya lagi, promosi kraf itu juga bertujuan memupuk minat golongan belia untuk mendekati produk hasil kraf dan untuk itu Kraftangan Malaysia mengadakan Program Pendidikan Kraf atau interaktif kraf.

“Menerusi program ini para peserta berpeluang mempamerkan bakat dan kreativiti dengan membuat sendiri beberapa jenis kerja tangan yang diketengahkan,” ujarnya.

Hadir sama Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia Datuk Mohd Kamil Mohd Ali, Pengarah Kraftangan Malaysia Cawangan Sarawak Azran Arip dan tetamu kehormat lain.

Advertisement