Anda di sini

Program Taklimat Biasiswa JPA dan Motivasi SPM di Sibu

Advertisement

SIBU: Persatuan Graduan Bumiputera (PGBS) dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Pusat Khidmat DUN Nangka mengadakan Program Taklimat Biasiswa JPA dan Motivasi SPM 2014 di sini semalam.

Program itu dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka, Dr Annuar Rapa’ee.

Program julung kali itu menjadi landasan menyampaikan maklumat kepada calon-calon SPM 2014 mengenai tawaran biasiswa JPA secara khususnya dan persediaan melangkah masuk ke alam universiti.

Dr Annuar berkata, para pelajar sudah tidak mempunyai alasan untuk tidak mencari ilmu ke peringkat lebih tinggi.

“Pada zaman ini, kerajaan memperuntukkan pelbagai inisiatif dan bantuan untuk para pelajar meneruskan pengajian mereka.

“Alasan mengatakan ‘saya tidak dapat melanjutkan pelajaran’, adalah helah untuk tidak meneruskan pengajian,” katanya di hadapan 100 orang pelajar dari 10 buah sekolah yang mengikuti program taklimat itu.

Selain itu, beliau menyifatkan Sibu mempunyai kolej dan universiti diiktiraf menawarkan pelbagai jenis bantuan pengajian.

“Di Sibu kita ada Kolej Laila Taib (KLT) yang menawarkan pengajian percuma kepada pelajar.

“Sekarang kita mempunyai University College Technology Sarawak (UCTS) menawarkan banyak kursus dan dua lagi kursus peringkat ijazah ditawarkan,” ujarnya.

Di samping itu, Dr Annuar mempelawa pelajar SPM bakal menduduki SPM hujung tahun ini menyertai program ‘Klinik Intensif Kecemerlangan SPM’ yang diadakan awal Ogos depan.

“Saya minta PGBS Sibu menjalankan satu program dan saya hendak lihat 100 peratus yang hadir hari ini akan 100 peratus mengikuti program itu.

“Program tersebut kita panggil sebagai Klinik Intensif Kecermelangan SPM yang bermula bulan depan hingga hujung Oktober sebelum pelajar menghadapi SPM,” katanya.

Menurut beliau, objektif program tersebut untuk membantu  pelajar kurang mahir dalam sesetengah mata pelajaran bagi membantu mereka mencapai target sehingga lima kredit.

Tambahnya, program itu ditawarkan secara percuma dan pelajar terlibat tidak perlu membayar apa-apa.

Turut diadakan ceramah disampaikan Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Sumber Manusia JPA Putrajaya, Aris Abdul Ghani dan slot motivasi oleh Dekan Fakulti Alam Seni Bina UCTS Sibu, Profesor Madya Dr Azizah Salim.

Manakala slot pengucapan awam oleh Mohammad Hisham Khairul Nasir, bekas Division E, Govener District 87, Toastmasters International.

Advertisement