Anda di sini

Persatuan Ibu Tunggal Miri minta ahli guna persatuan dapat bantuan: Horry

Advertisement

MIRI: Persatuan Ibu Tunggal Miri menggesa ahli-ahli persatuan lama dan baharu agar menggunakan sepenuhnya persatuan untuk mendapatkan bantuan sewajarnya.

Pengerusinya, Horry Bujang berkata setakat ini persatuan itu mempunyai lebih 400 ahli dengan majoritinya ahli-ahli berusia 70 tahun ke atas.

“Walaupun persatuan sendiri tidak dapat memberi bantuan seperti kewangan, namun sekurang-kurangnya kita dapat menjadi saluran mendapatkan bantuan dengan kerajaan.

“Justeru, kita mengingatkan ahli-ahli persatuan terutama ahli yang lama berhubung dengan persatuan memudahkan kita mengetahui kebajikan mereka,” katanya ditemui selepas majlis pemimpin bertemu rakyat di pejabat Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Senadin semalam.

Terdahulu, Horry dan ahli-ahli jawatankuasanya bertemu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin merangkap Menteri Perhubungan, Datuk Lee Kim Shin memaklumkan perkembangan terkini persatuan.

Pada pertemuan itu, Lee turut mengumumkan bantuan berjumlah RM5,000 bagi membolehkan persatuan itu membeli komputer, mesin cetak dan peralatan pejabat untuk kegunaan persatuan.

“Kita sekarang sedang menjejaki ahli-ahli lama yang sebelum ini terputus hubungan dengan persatuan untuk memudahkan kita menyalurkan bantuan. Mereka boleh menghubungi persatuan di talian 085-650784 atau 016 8790094,” katanya.

Jumlah ahli persatuan kini meningkat setiap hari dan beliau berharap golongan tersebut tidak memencilkan diri sebaliknya bersama-sama dengan persatuan untuk manfaat mereka.

Advertisement