Anda di sini

Pengorekan pasir di muara Sg Mukah dibantah

Advertisement

Penduduk Kampung Litong tidak rela kampung mereka tenggelam ditelan laut, hilang dari peta dunia

Oleh Nicklos Louis Kaderi //

MUKAH: Penduduk Kampung Litong di sini membantah sekeras-kerasnya tindakan mana-mana pihak yang ingin mengambil pasir di muara Sungai Mukah, Kuala Mukah kerana bimbang akan hakisan tanah berlaku di kawasan kampung mereka.

Justeru semalam, penduduk mengadakan satu perhimpunan secara aman di kampung mereka bagi membincangkan perkara tersebut dalam usaha mempertahankan kampung mereka daripada terhakis sekiranya kerja-kerja pengorekan pasir dilakukan.

Ketua Kampung Litong, Jamahari Sahli yang mewakili penduduk kampung tersebut berkata, mereka amat tidak bersetuju mana-mana pihak atau pemaju melakukan kerja-kerja pengorekan pasir di muara Sungai Mukah di kawasan seberang Kampung Litong.

Jamahari berkata, sekiranya kerja-kerja pengorekan dilakukan di kawasan itu maka perkampungan Litong akan tinggal nama dan akan tenggelam sekali gus hilang dalam peta dunia.

“Kami tidak mengizinkan mana-mana pihak atau pemaju menjalankan kerja-kerja pengorekan pasir di kawasan berkenaan mahupun di kawasan sekitarnya kerana kami bimbang masa depan kampung kami dan anak-anak kami,” katanya.

Sementara itu, Jamahari berkata beliau dan penduduk kampung lain bukan menentang mana-mana pihak untuk membangun dan memajukan Mukah ini secara umumnya.

Namun, pembangunan tetap pembangunan tetapi masa depan rakyat di kawasan Kampung Litong juga harus diambil kira.

“Saya dan penduduk di sini bukanlah membantah usaha mana-mana pihak yang ingin memaju dan membangunkan Mukah, namun biarlah kampung kami kekal dalam peta Mukah sebelum hilang tenggelam akibat hakisan.

“Biarlah kampung kami kekal seperti sediakala agar anak bangsa kami membangun bersama-sama dengan pembangunan di Mukah ini,” katanya.

Jamahari memberitahu, pihak mereka beberapa kali mengemukakan bantahan kepada pihak atasan namun tidak pernah diambil perhatian.

“Kami beberapa kali membuat bantahan kepada pihak atasan secara lisan, namun tidak diambil perhatian menyebabkan penduduk di sini kecewa,” katanya.

Sementara itu, seorang penduduk Kampung Litong, Zaidi Bujang berkata kesan pengorekan pasir di muara Sungai Mukah membawa banyak kesan negatif kepada alam sekitar sekali gus boleh memusnahkan kampung itu suatu hari nanti.

Zaidi berkata, mereka bimbang pisang berbuah dua kali kerana suatu ketika dahulu kerja-kerja pengorekan pasir pernah dilakukan di muara sungai tersebut.

Sehubungan itu, mereka berjaya memohon benteng dibina di persisiran Kampung Litong bagi mengurangkan impak hakisan.

“Sekiranya tidak ada benteng, saya percaya sudah lama kampung kami musnah akibat hakisan tanah yang amat teruk hasil pukulan ombak yang kuat dari laut.

“Tibanya musim tengkujuh, keadaan ombak dari laut lazimnya kuat serta tinggi dan memukul tebing-tebing sungai di kawasan Kampung Litong,” jelasnya.

Justeru, katanya, jika pengorekan pasir terus dilakukan, kemusnahan akan berlaku di kawasan itu dan tidak mustahil benteng yang dibina akan tenggelam ke dasar sungai.

“Terdapat beberapa kesan di kawasan terbabit seperti pokok kelapa yang dahulunya menghijau sudah tumbang, jeti-jeti banyak yang sudah rosak dan roboh dan tebing sungai yang kian terhakis,” katanya.

Advertisement