Anda di sini

Panik, cepat cemas faktor utama kemalangan jiwa

Advertisement

SARIKEI: Panik dan cepat berasa cemas merupakan salah satu faktor utama menyebabkan boleh berlakunya kemalangan jiwa dan kecederaan serius setiap kali berlaku situasi kebakaran.

Pegawai Bomba Kanan II Haron Jenai berkata, keadaan itu kerap berlaku di kalangan kanak-kanak atau golongan berusia 15 tahun ke bawah.

“Sejajar situasi itu, bomba berusaha memberi kesedaran dan panduan kepada golongan terbabit tindakan perlu dilakukan apabila berhadapan dengan situasi kebakaran.

“Kita yakin dengan usaha itu mampu memberi lebih pemahaman kepada golongan ini tentang tindakan menyelamatkan diri apabila berhadapan kebakaran dan bukannya bertindak menyelamatkan diri dengan cara membuta tuli.

“Dalam menjayakan usaha itu, bomba mengharapkan kerjasama semua pihak khususnya pihak sekolah dan ibu bapa,” katanya pada sesi ceramah bomba yang dihadiri 139 murid Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) St Martin di sini kelmarin.

Haron yang dibantu oleh Pegawai Bomba Mohtadza Badri berkata, usaha menyelamatkan diri khususnya ketika kebakaran mempunyai tatacara tersendiri.

“Perkara lain tidak kurang pentingnya termasuk mengetahui nombor telefon kecemasan serta cara-cara menggunakan alat pemadam api dengan betul,” ujarnya.

Tambahnya, pemasangan jeriji pintu atau tingkap juga harus mengikut peraturan.

“Pemasangan jerji mengabaikan faktor keselamatan terutamanya di asrama dan sekolah boleh mendatangkan risiko tinggi. Maka, kita sentiasa bersedia memberi panduan dan bantuan kepada pihak sekolah sekiranya memerlukan petunjuk berkaitan usaha berkenaan demi keselamatan semua,” katanya.

Turut hadir Guru Besar SJKC St Martin Lei Ko Kien.

Advertisement