Anda di sini

Naik taraf Jalan Pan Borneo dekat Sg Nyelong hampir siap

Advertisement

SARIKEI: Proses menaik taraf Jalan Pan Borneo sejauh sembilan kilometer bermula persimpangan Bulat hingga ke Jambatan No. 2 Sungai Nyelong Sarikei kini hampir siap.

Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Sarikei, Clement Sia berkata kerja menaik taraf di lokasi terbabit sudah berada pada tahap 90 peratus siap.

“Hanya tinggal 10 peratus sahaja yang belum dilaksanakan kerja-kerja menaik taraf iaitu merangkumi satu kilometer di kawasan dari Jambatan Sungai Nyelong 2.

“Bagi lapan kilometer pula sudah siap ditar dan hanya menunggu untuk membuat garisan putih jalan sahaja.

“Projek itu dilaksanakan sejak April lalu dan dijangka siap sepenuhnya September akan datang,” katanya di sini semalam.

Mengulas mengenai kerja terbabit, Clement berkata siapnya projek tersebut bakal memberi keselesaan kepada semua pengguna jalan raya terbabit.

“Sehubungan itu, kita mohon semua pengguna yang menggunakan atau memandu di jalan kawasan berkenaan agar memberi kerjasama kepada pihak yang sedang bekerja.

“Orang ramai dan pengguna jalan raya berkenaan diminta agar mempertingkat fokus pemanduan dan mengamalkan sikap pemanduan berhemah.

“Usaha dan kerjasama seperti ini amat penting bagi memastikan semua pengguna jalan raya terjamin keselamatan.

“Sebarang kesulitan berlaku amat dikesali, tetapi kerja-kerja menaik taraf itu perlu dilakukan bagi memberi keselesaan kepada semua pihak,” jelas Clement.

Advertisement