Anda di sini

Jenazah Sharifah Aini selamat dikebumi di tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara

Advertisement

KUALA LUMPUR: Jenazah Biduanita Negara Datuk Sharifah Aini Syed Jaafar, 61, yang meninggal dunia akibat jangkitan paru-paru, selamat dikebumi di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara di sini.

Jenazah Allahyarham sebelum itu disolatkan di Masjid Al-Taqwa Taman Tun Dr Ismail jam 11.30 pagi sebelum disemadikan pada kira-kira jam 12.30 tengah hari.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir jam 1.26 pagi setelah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Pusat Perubatan Pakar Damansara sejak Selasa lepas kerana kesukaran bernafas.

Antara rakan artis yang hadir di Masjid Al Taqwa Taman Tun Dr Ismail untuk memberi penghormatan terakhir ialah penyanyi seangkatan Allahyarham iaitu Uji Rashid, Hail Amir, Jeffri Din, Datuk DJ Dave, Mas Omar dan Datuk Khadijah Ibrahim.

Turut kelihatan ialah Datuk Siti Nurhaliza Taruddin, Datuk Hattan, Rohana Jalil, Zaiton Sameon, Azlina Aziz, Nassier Wahab, Datuk Redzuawan Ismail atau Cef Wan, Ellie Suriati dan Datin Paduka Umie Aida.

Sementara itu, anak tunggal Allahyarham, Aliff Omar Ali meminta semua pihak menghalalkan semua kesilapan Sharifah Aini dan berdoa untuk arwah ibunya.

“Terima kasih kepada semua pihak yang mengambil berat mengenai arwah. Saya harap semuanya dapat mendoakan arwah dan mendoakan kami sekeluarga tabah (menghadapi dugaan ini),” katanya kepada pemberita di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara.

DJ Dave, yang bertemu Sharifah Aini bersama-sama Khadijah, Mas Omar serta Zur Eda tiga minggu lepas atas permintaan Allahyarham sendiri, berkata pada pertemuan itu, Sharifah Aini memaklumkan beliau tidak sihat, namun sempat memasak dan menjamu mereka.

“Kami semua memberikan kata-kata semangat kepadanya,” katanya sambil menambah beliau tidak menyangka Sharifah Aini akan meninggalkan mereka buat selama-lamanya.

Beliau berkata sebagai rakan seperjuangan, Allahyarham terkenal sebagai seorang yang komited dalam kerjaya dan tidak pernah berputus asa.

DJ Dave, yang juga Presiden Yayasan Artis 1Malaysia (YA1M), turut menyampaikan sumbangan khairat kematian RM3,000 kepada keluarga Allahyarham.

Bagi Mas Omar, antara sifat terpuji Sharifah Aini ialah suka membantu mereka yang dalam kesusahan dan orang kurang upaya.

Beliau bersyukur kerana dapat menemukan Allahyarham dengan rakan seperjuangan seperti Fauziah Latif, Nassier Wahab, Herman Tino dan Nash baru-baru ini apabila Allahyarham melahirkan keinginan untuk bertemu mereka.

“Saya memenuhi permintaannya itu dan Allahyarham kelihatan sangat gembira… Arwah banyak berbual dengan mereka bila mereka dipertemukan,” katanya.

Sementara itu, peminat setia Sharifah Aini iaitu Rasyidah Abdullah, 60-an, pernah menerima bantuan kewangan daripada Allahyarham untuk membeli makanan.

“Arwah pernah memberi wang agar saya dapat menikmati makanan, arwah pernah memberi saya wang RM100 dan RM200, saya tidak akan lupa jasa baik arwah,” katanya.

Uji Rashid, yang mengenali Sharifah Aini pada 1970-an, berkata ketika mula-mula menyertai syarikat rakaman, Allahyarham menjadi ‘inspirasi’ beliau.

“Malah apabila saya merakamkan album EP yang pertama, dua lirik lagunya ditulis oleh Allahyarham,” katanya.

Siti Nurhaliza pula dalam nada sebak berkata Allahyarham sangat bertuah kerana meninggal dunia di bulan Ramadan kerana “bukan semua orang dapat kehebatan ini.”

“Dia mempunyai banyak kebaikan yang telah dibuat. Saya sendiri sebagai anak seni sangat mengagumi Allahyarham,” katanya.

Beliau berkata Sharifah Aini amat terkenal dengan lagu seperti ‘Seri Dewi Malam’ dan ‘Bunga Tanjung’.

“Arwah ayah saya memang sangat menyukai Allahyarham, sedikit sebanyak saya mengenali perjalanan hidup arwah sejak dulu,” katanya. — Bernama

Advertisement