Anda di sini

336,000 warga Indonesia di empat negeri mengundi PEMILU Presiden

Advertisement

JOHOR BAHARU: Sebanyak 336,000 warga Indonesia di Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Pahang dijangka menunaikan kewajipan mengundi dalam Pemilihan Umum (PEMILU) Presiden republik itu yang ke-11.

Ketua Panitia Pemilu Luar Negara Konsulat Jenderal Indonesia Johor Baharu, Djudjur S.H Hutagalung berkata, bilangan itu termasuk pengundi yang menggunakan kaedah ‘drop box’ serta mereka yang mengundi di Tempat Pungutan Suara (TPS).

“Sehingga jam 8 pagi tadi (pagi semalam), sebanyak 10,268 pengundi yang yang menggunakan kaedah ‘drop box’ telah mengundi pada PEMILU Presiden 2014 bermula sejak kelmarin hingga esok (hari ini),” katanya kepada Bernama di Konsulat Jenderal semalam.

Kaedah ‘Drop Box’ melibatkan penghantaran kertas-kertas undi oleh petugas PEMILU Presiden Konsulat Jenderal Indonesia ke lokasi penempatan warga republik yang memohon untuk melaksanakan kewajipan mereka menerusi kaedah itu.

Beliau berkata, bagi warga republik itu yang mahu mengundi di pejabat konsulat di Johor Baharu, mereka mempunyai masa sehingga 10 malam ini untuk menunaikan kewajipan mereka itu.

Menurut Djudjur, sebanyak 468 kakitangan terdiri daripada kakitangan Konsulat Jeneral Indonesia di Johor Baharu dan sukarelawan di kalangan penuntut serta warga republik itu terlibat di dalam proses PEMILU Presiden 2014.

Beliau yang juga timbalan Konsul Jenderal Indonesia di Johor Baharu berkata proses pengiraan undi pula akan dilakukan pada 9 sehingga 14 Julai. — Bernama

Advertisement