Anda di sini

Proses pemulihan Neymar lancar

Advertisement

Penyerang Barca itu jalani latihan seperti biasa Rabu lepas selepas alami kecederaan paha dan lutut

TERES POLIS, Brazil: Neymar melakukan proses pemulihan yang baik dari kecederaan paha dan lutut, menjelang perlawanan suku akhir Piala Dunia 2014 menentang Colombia, menurut doktor pasukan Selasa lepas.

Penyerang kelab Barcelona i t u menamatkan perlawanan pusingan kedua menentang Chile dengan kesakitan tetapi menjalani rawatan yang baik di kem latihan pasukan di Teresopolis dan menjalani latihan seperti biasa Rabu lepas.

“Beliau mengalami kecederaan di bahagian paha dan lutut kanan tetapi beliau sudah berlatih bersama dengan skuad. Beliau menjalani proses pemulihan yang baik,” kata doktor Jose Luiz Runco.

Untuk hari kedua berturut-turut, pemain yang diturunkan dalam kesebelasan utama menentang Chile, hanya menjalani latihan ringan dan Runco menepis cadangan dari media Brazil di mana pasukan itu tidak menjalani latihan secukupnya, dengan perlawanan menentang Colombia hanya tinggal beberapa hari lagi.

“Saya perlu pemain saya bermain, bukan berlatih,” kata beliau.

“Mereka perlu berehat. Mereka bermain 120 minit pada suatu petang dan ia adalah satu perlawanan yang menggunakan banyak kekuatan fizikal dan emosi.”

Neymar adalah salah seorang dari pemain yang menyaksikan pasukan simpanan Brazil menang 2-0 pada satu perlawanan latihan menentang pasukan remaja dari kelab Fluminense Selasa lepas, dengan Paulinho menjaringkan kedua-dua gol.

Paulinho digugurkan dari skuad Brazil pada perlawanan menentang Chile selepas aksi hambar di peringkat pusingan pertama tetapi beliau menjadi antara pemain pilihan untuk diturunkan menentang Colombia selepas Luiz Gustavo digantung satu perlawanan.

Pilihan lain buat jurulatih Luiz Felipe Scolari ialah menurunkan Hernanes buat kali pertama pada kejohanan ini, atau meletakkan pemain pertahanan, David Luiz di posisi tengah bertahan dengan Dante diletakkan di posisi pertahanan.

Sementara itu, pemain tengah, Ramires, antara pemain simpanan pasukan, menegaskan pasukannya sudah bersedia lebih baik untuk menangani tekanan ekoran kemenangan dramatik ke atas Chile.

“Jika kami mengharungi tempoh yang sama, kami akan lebih bersedia,” kata beliau pada sidang media ketika mengenang kembali debaran kemenangan menerusi penentuan sepakan penalti.

Beberapa pemain Brazil tidak dapat menahan sebak selepas dan sebelum penentuan sepakan penalti, termasuk kapten pasukan, Thiago Silva.

Ramires menambah: “Ia sangat beremosi sekali, bermain selama 90 minit dan kemudian masa tambahan (30 minit) dan penentuan tendangan penalti dalam cuaca panas dengan 200 juta orang mahukan anda menang.

“Pasukan ini sudah bersedia untuk menangani emosi seperti ini dalam dan luar padang.” — AFP

Advertisement