Anda di sini

Pemimpin bertanggungjawab jika ada kematian akibat JE

Advertisement

Ada pemimpin hasut penduduk ternak babi secara haram

SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan berkata pemimpin tempatan mesti bertanggungjawab sepenuhnya sekiranya terdapat kes kematian akibat virus Ensefalitis Jepun (JE) di negeri itu.

Ini kerana, katanya, terdapat pemimpin tempatan yang cuba menghasut penduduk agar terus melakukan aktiviti penternakan babi di sekitar Bukit Pelanduk, mahu pun daerah lain di negeri ini secara haram.

“Terdapat beberapa individu di Bukit Pelanduk yang cuba melakukan penternakan babi secara haram, namun pihak berkuasa telah pun mengambil tindakan dengan merobohkan ladang ternakan mereka.

“Jadi, saya menasihatkan kepada pemimpin tempatan agar tidak menghasut penduduk supaya mengingkari larangan kerajaan.

“Kita tidak mahu kejadian lama berulang kembali, di mana pada ketika itu ramai penduduk sekitar meninggal dunia akibat JE di Bukit Pelanduk,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Ratusan penduduk di kawasan itu dilaporkan terkorban dalam wabak yang berlaku pada 1998.

Berikutan itu, kerajaan negeri melarang penternakan babi di situ.

Bagaimanapun, kerajaan negeri bersetuju membenarkan pengusaha ladang ternakan babi di Air Kuning, Gemencheh meneruskan operasi tetapi dengan bersyarat di mana pengusaha ladang ternakan terbabit perlu sentiasa memastikan air kumbahan tidak menjadi punca pencemaran air dan bau di kawasan sekitar.

Mereka (pengusaha ladang) juga hanya dibe-narkan menternak dalam kuantiti kurang daripada 1,000 ekor. — Bernama

Advertisement