Anda di sini

Najib pengerusikan mesyuarat Kabinet pertama selepas pertambahan menteri

Advertisement

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam mempengerusikan mesyuarat Kabinet pertama selepas pertambahan tiga anggotanya minggu lalu.

Ketiga-tiga menteri yang baharu dilantik itu hadir iaitu Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, dan dua  Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Wee Ka Siong dan Datuk Mah Siew Keong.

Mesyuarat bermula kira-kira jam 9.45 pagi di Bangunan Perdana Putra di sini.

Ia merupakan mesyuarat Kabinet pertama bagi  Mah (presiden GERAKAN), tetapi tidak asing bagi Liow (Presiden MCA) yang pernah memegang jawatan menteri kesihatan dan Wee (Timbalan Presiden MCA) yang bekas timbalan menteri pelajaran pada 2008 sehingga Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) Mei tahun lepas.

Turut dilantik minggu lalu ialah tiga Naib Presiden MCA iaitu Datuk Lee Chee Leong memegang jawatan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Chua Tee Yong sebagai Timbalan Menteri Kewangan dan Datin Paduka Chew Mei Fun selaku Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Kemasukan wakil MCA dan GERAKAN dalam barisan Kabinet itu adalah bagi mengukuhkan konsep perkongsian kuasa dalam  pentadbiran negara yang melibatkan semua kaum. — Bernama

Advertisement