Anda di sini

Deschamps tolak Perancis selaku pasukan pilihan

Advertisement

RIBEIR O PRETO, Brazil: Jurulatih Perancis, Didier Deschamps cuba mengurangkan jangkaan yang semakin meningkat hasil pencapaian memberangsangkan anak buahnya ketika melangkah ke suku akhir Piala Dunia 2014.

Skuad yang mendapat jolokan ‘Les Bleus’ itu menewaskan Nigeria 2-0 pada perlawanan pusingan kedua di Brasilia Isnin lepas untuk menempah pertemuan menentang Jerman Jumaat ini.

Di bawah bimbingan Deschamps, Perancis sudah melupakan ‘bencana’ kempen Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan.

Tetapi bekas kapten Perancis yang menjulang trofi Piala Dunia 1998 itu, mengharapkan pasukannya tidak mendabik dada di pusat latihan mereka di Ribeirao Preto Selasa lepas.

“Saya seorang yang realistik, sasaran saya, seperti pemain saya ialah Jumaat ini,” kata beliau sehari selepas gol Paul Pogba dan gol sendiri Joseph Yobo memastikan kemenangan ke atas Nigeria.

Deschamps menambah: “Ia tidak mempunyai sebarang makna untuk berfikir lebih jauh dari Jumaat ini.

Realiti sekarang ialah (menentang) Jerman pada Jumaat ini.

“Semua orang boleh bermimpi, termasuk saya, tetapi saya seorang pragmatik dan realistik, Jumaat ini adalah apa yang lebih penting.”

Deschamps menolak cadangan di mana Perancis kini pasukan pilihan apabila bertemu Jerman, tetapi dalam masa yang sama menjelaskan pasukannya tidak berada di Brazil “sebagai pelancong”.

“Kami akan memberikan segala-gala yang kami ada.”

Mengimbau perkembangan Perancis melangkah ke suku akhir dengan muncul juara kumpulan, beliau berkata: “Kami belum melakukan sebarang kesilapan di Piala Dunia.

“Saya sangat bangga dan pemain selayaknya mendapat penghargaan, ia sangat menggembirakan bagi saya dan kakitangan pasukan untuk melibatkan diri setiap hari dengan pasukan ini.

“Tetapi kami tidak ke sana (Rio de Janeiro, venue perlawanan menentang Jerman) sebagai pelancong Jumaat ini.”

Beliau juga mengenepikan sebarang kepentingan perlawanan separuh akhir Piala Dunia 1982 di antara keduadua pasukan.

Perlawanan di Seville itu mendapat perhatian dalam sejarah bola sepak apabila penjaga gol Jerman, Harald Schumacher mengasari Patrick Battiston, menyebabkan pemain itu pengsan.

“Mereka (anak buahnya) belum lahir ketika itu, apa yang perlu saya katakan kepada mereka? “Joachim Loew (jurulatih Jerman) bercakap benar. Hormati bekas pemain dan apa yang telah berlaku tetapi kami tidak menentang musuh lama.” — AFP

Advertisement