Anda di sini

Costa bakal berhijrah ke London

Advertisement

LONDON, England: Chelsea sudah bersetuju untuk mendapatkan penyerang Diego Costa dari Atletico Madrid, menurut pengumuman kelab Liga Perdana Inggeris itu Selasa lepas.

Penyerang antarabangsa Sepanyol itu sudah lama dikaitkan dengan satu perpindahan ke Chelsea dan perjanjian perpindahan hanya menunggu masa selepas Chelsea berkata mereka telah menguatkuasakan syarat pelepasan kontrak penyerang berusia 25 tahun itu.

“Kelab Bola Sepak Chelsea boleh mengesahkan satu persetujuan sudah dicapai dengan Atletico Madrid untuk perpindahan Diego Costa, dengan Chelsea memenuhi syarat pelepasan kontrak untuk pemain antarabangsa Sepanyol itu,” kata satu kenyataan menerusi laman sesawang rasmi kelab.

Atletico kemudian mengesahkan bahawa persetujuan sudah dicapai mengenai pelepasan kontrak, sambil menambah bahawa Costa juga menyuarakan keinginan untuk berpindah ke Chelsea pada akhir musim lepas.

Ia dilaporkan di mana yuran sebenar perpindahan mungkin sekitar 32 juta pound.

Costa, pemain kelahiran Brazil, menjaringkan 35 gol untuk Atletico musim lepas ketika kelab itu memenangi kejuaraan La Liga Sepanyol dan melangkah ke final Liga Juara-Juara sebelum tewas kepada Real Madrid.

Dan keinginan beliau untuk mewakili Sepanyol, berbanding Brazil, di Piala Dunia 2014, tidak membuahkan hasil apabila Sepanyol, selaku juara bertahan kejohanan, tersingkir pada pusingan pertama.

Costa bermain dua perlawanan persahabatan untuk Brazil tahun lepas sebelum menyatakan hasrat mewakili Sepanyol, menyebabkan jurulatih Brazil, Luiz Felipe Scolari berkata: “Beliau mengenepikan impian jutaan orang untuk mewakili skuad kebangsaan kami, juara dunia lima kali.”

Selepas melihat impian Piala Dunia bersama Sepanyol berakhir awal, Costa berkata: “Ia merupakan tahun yang baik dalam banyak aspek tetapi ada juga yang sukar.”

Walaupun kekecewaan di Piala Dunia, Costa kelihatan menjadi pilihan utama pengurus Chelsea, Jose Mourinho, yang sentiasa mengadu pasukannya kurang penyerang berbeza – walaupun memiliki Fernando Torres, Demba Ba dan Samuel Eto’o – musim lepas dan ia menghalang pasukannya menewaskan Manchester City yang muncul juara liga. — AFP

Advertisement