Anda di sini

3,997 kes pembakaran terbuka dikesan setakat semalam

Advertisement

KUALA LUMPUR: Kes pembakaran terbuka didapati meningkat kepada 3,997 semalam berbanding 3,977 pada dua hari lepas.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri G.Palanivel berkata berdasarkan siasatan Jabatan Alam Sekitar (JAS), 1,281 kes pembakaran terbuka dikesan di kawasan pertanian, 928 kes di kawasan belukar, 843 kes di kawasan hutan, 117 kes di kawasan pembinaan, 69 kes di tapak pelupusan sampah, 31 kes di kawasan industri manakala 728 kes yang lain membabitkan pembakaran terbuka kecil.

“Bagi tempoh yang sama, sebanyak 293 kes pembakaran terbuka telah dikenakan tindakan kompaun dan 91 kes telah dikeluarkan notis amaran,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Selain itu, 43 kertas siasatan bagi kesalahan melakukan pembakaran terbuka telah dibuka bagi tindakan pendakwaan di mahkamah, katanya.

Beliau berkata dalam keadaan cuaca berjerebu yang tidak menentu, tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas terus diambil ke atas mana-mana individu yang telah melakukan kesalahan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974.

Dalam pada itu, bilangan titik panas yang dikesan melalui imej satelit Pentadbiran Atmosfera dan Lautan Kebangsaan (NOAA)-18 di beberapa lokasi dalam negara menurun kepada enam, hari ini berbanding 17 pada hari sebelumnya.

Daripada jumlah itu, empat titik panas telah dikesan di Sarawak, manakala dua di Sabah. — Bernama

Advertisement