Anda di sini

STA serah sumbangan RM1.39 juta kepada pelbagai organisasi

Advertisement

UNTUK PENDIDIKAN: Wong (kanan) menyampaikan replika cek bernilai RM600,000 kepada Persatuan Lembaga Pengurusan Sekolah Menengah Cina Swasta Bersatu Sarawak dan 14 sekolah menengah Cina yang diwakili Vincent Lau (dua kiri). Turut kelihatan Lau Swee Nguong (dua kanan) dan Choo (kiri). — Gambar Kong Jun Liung

KUCHING: Persatuan Kayu Kayan Sarawak (STA) semalam menyerahkan sumbangan dana bernilai RM1.39 juta kepada pelbagai organisasi untuk pelbagai aktiviti sebagai sumbangan balik kepada komuniti.

Pengerusi STA Pemanca Datuk Wong Kie Yik berkata, sumbangan berkenaan termasuk untuk usaha-usaha pemuliharaan oleh kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan, menjaga alam sekitar dan menyediakan perkhidmatan kepada masyarakat.

Beliau berkata ia terutamanya kepada mereka yang tinggal di kawasan pedalaman dan di sekitar unit pengurusan hutan selain memudahkan usaha mencapai pendidikan kepada golongan belia melalui anugerah biasiswa.

“Matlamat STA bukan sahaja mengambil berat tentang mempromosi dan menjaga kepentingan serta kesejahteraan ahli-ahlinya tetapi juga meningkatkan kebajikan masyarakat yang tinggal di kawasan konsesi dengan menyediakan biasiswa serta sumbangan kewangan untuk kemajuan pendidikan selain latihan.

“STA Mutual Sdn Bhd (STAM), iaitu anak syarikat STA telah melibatkan diri dalam projek meningkatkan kebajikan masyarakat di Sarawak tanpa mengira bangsa, agama serta menyediakan biasiswa dan ganjaran kepada universiti, kolej serta institusi yang melahirkan graduan dalam kemahiran relevan untuk perhutanan, penanaman hutan dan industri perkayuan,” katanya.

Beliau berkata demikian melalui teks ucapan yang dibacakan Bendahari Kehormat STA Philip Choo pada Majlis Penyerahan Bantuan Kewangan untuk pendidikan, penyelidikan dan bantuan lain STA dan Biasiswa Daiken serta Majlis Memorandum Persefahaman Antara STA dan Daiken Corporation yang dihadiri Menteri Kemajuan Tanah Tan Sri Datuk Amar James Masing di Wisma STA di sini, semalam.

Menurut Wong, persatuan juga menawarkan latihan kemahiran kepada pekerjapekerja hutan sejak 1996 dengan lebih kurang 2,000 pekerja sudah dilatih.

“Persatuan juga menawarkan diploma pascasiswazah dalam sains gunaan (Pengurusan Mapan Hutan Tropika) usaha sama dengan Lincoln University, New Zealand sejak 2006 dan diploma berkenaan menyasarkan untuk melatih pengurus kanan ahli-ahli syarikat dalam menguruskan hutan secara mapan,” tegasnya.

Pada ajlis itu STA turut menyumbang RM600,000 kepada Persatuan Lembaga Pengurusan Sekolah Menengah Cina Swasta Bersatu Sarawak serta 14 sekolah menengah Cina dan RM15,000 kepada Yayasan LaSallian.

Manakala bagi sumbangan untuk penyelidikan antara penerimanya ialah Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dengan RM400,000 dan Sarawak Forestry Corporation (RM190,000).

Bagi sumbangan untuk bantuan- bantuan lain, STA menyumbang masing-masing RM50,000 kepada Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dan Yayasan Jantung Sarawak.

Hadir sama pada majlis berkenaan, Ahli Tetap Majlis STA merangkap Presiden Persatuan Lembaga Pengurusan Sekolah Menengah Cina Swasta Bersatu Sarawak Temenggung Vincent Lau dan Ahli Majlis STA Lau Swee Nguong.

 

Advertisement