Anda di sini

Sarawak perlukan lebih banyak empangan: KM

Advertisement

Oleh Jessica Jawing

KUCHING: Kementerian Kemudahan Awam diberi lampu hijau untuk membina lebih banyak empangan di negeri ini, jika ia diperlukan bagi memenuhi keperluan industri dan rakyat.

Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem berkata ia juga bagi melengkapi empangan hidro yang sedia ada pada masa kini sekali gus bagi mencapai sasaran 100 peratus rakyat Sarawak dibekalkan dengan bekalan elektrik.

“Saya berharap Kemente­rian Kemudahan Awam meneruskan apa yang mereka laksanakan pada masa kini dan sasaran kita untuk men­capai 100 peratus (menerima bekalan elektrik) dan kita perlu membina lebih banyak empangan bagi menjana kuasa untuk industri.

“Walaupun kita sudah ada Empangan Murum dan Empangan Bakun yang sudah beroperasi tetapi kita perlu membina lagi empangan sama ada mereka yang digelar NGO (pertubuhan bukan kerajaan) serta aktivitis alam sekitar setuju atau tidak itu bukan masalahnya kerana empangan itu bukan milik mereka tetapi milik negeri kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-10 Kementerian Kemudahan Awam dan melancarkan e-KISS (Sarawak e-KPI System for Water Supply Services) yang dihadiri Menteri Ke­mudahan Awam Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan di sini, semalam.

Tambahnya selain itu, ke­menterian perlu menekankan pembinaan lebih banyak ke­mudahan asas di luar bandar untuk memudahkan pelak­sanaan pembangunan di luar bandar bagi merapatkan jurang antara bandar dan luar bandar.

Pada masa yang sama kata beliau, ia merapatkan jurang miskin dan kaya di kalangan rakyat negeri ini memandan­gkan kini nisbah penduduk luar bandar kepada bandar pada kadar 50:50.

“Ini disebabkan peluang ekonomi dan pekerjaan yang lebih banyak di bandar menyebabkan ramai pen­duduk luar bandar berpindah ke bandar,” tegasnya.

Adenan berkata, selain itu kementerian perlu meneliti agar rumah panjang atau kampung yang berdekatan dengan empangan diberi per­hatian untuk bekalan elektrik dan air.

“Misalnya apabila kita melaksanakan pembinaan empangan hidro di Batang Ai, ia untuk kegunaan semua.

“Namun ironinya masih ada rumah panjang dan kampung yang berdekatan belum ada bekalan elektrik,” ujarnya.

 

Advertisement