Anda di sini

Pemansuhan ISA beri kesan pada usaha banteras militan

Advertisement

Penguat kuasa sukar beri bukti boleh diterima mahkamah

KUALA LUMPUR: Pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) memberi kesan kepada pihak penguat kuasa dalam membanteras kegiatan militan di negara ini, persidangan Dewan Negara diberitahu semalam.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata tanpa ISA, adalah sukar bagi pihak penguat kuasa mengambil tindakan sewajarnya terhadap individu yang disyaki terlibat dalam kegiatan berkenaan.

Katanya, di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau SOSMA, individu hanya boleh ditahan selama 28 hari dan perlu dituduh di mahkamah selepas tempoh itu.

“Dan kalau disabit kesalahan di mahkamah, baharulah mereka (individu terbabit militan) ini dipenjarakan. Tetapi dalam gerakan (militan) ini bukan mudah untuk mendakwa bukti yang nyata yang boleh diterima oleh pihak mahkamah,” katanya semasa menjawab soalan tambahan Senator Noriah Mahat.

Noriah ingin tahu apakah punca kewujudan kumpulan militan di negara ini dan apakah pendekatan holistik kerajaan dengan kerjasama negara lain bagi menangani ancaman militan.

Wan Junaidi memberikan contoh kes 12 rakyat Malaysia yang ditahan berkaitan kegiatan militan dan dituduh di mahkamah, namun lapan orang telah dibebaskan kerana tidak cukup bukti manakala empat lagi masih dalam perbicaraan di mahkamah.

Katanya, antara faktor yang mendorong kewujudan kegiatan militan adalah untuk membantu rakan-rakan mempertahankan satu perjuangan yang kononnya berlandaskan Islam, keinginan mati syahid dan melihat kegiatan militan sebagai cara yang cepat dan mudah untuk dimasukkan ke syurga.

Kepada soalan asal Noriah, Wan Junaidi berkata phak berkuasa telah menahan sebanyak 108 individu pelbagai warganegara yang terlibat dengan kegiatan militan sejak tahun 2010 hingga kini.

Beliau berkata beberapa usaha dilakukan kementerian melalui pihak polis, termasuk menyiasat aktiviti kumpulan yang mencurigakan dan memantau individu yang pernah terlibat dengan kumpulan militan.

Selain itu, katanya kementerian turut mengadakan beberapa siri program pemulihan kepada orang tahanan dan anggota keluarga mereka serta mengadakan kerjasama rapat dan bertukar maklumat risikan dengan agensi keselamatan negara luar terutama negara ASEAN.

Menjawab soalan tambahan Senator Datuk Dr Firdaus Abdullah sama ada terdapat keperluan mewujudkan semula ISA, Wan Junaidi berkata akta berkenaan sudah pun dimansuhkan dan kerajaan perlu melangkah ke hadapan mencari pelbagai insiatif untuk membanteras kegiatan militan.

“Kita terpaksa hidup dengan keadaan dan undang-undang sekarang, apa yang tinggal ialah kita perlu memperbaiki anggota risikan kita dan pertingkatkan lagi tahap kebolehan mereka selain menambah baik jaringan kerjasama dengan pihak risikan luar negara,” katanya. — Bernama

Advertisement