Anda di sini

MBSA tawar pengurangan kompaun 80% sepanjang Ramadan

Advertisement

SHAH ALAM: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menawarkan pengurangan kompaun sehingga 80 peratus kepada orang ramai yang mempunyai tunggakan di kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan itu sehingga akhir Ramadan ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Korporat dan Pembangunan Komunitinya, Shahrin Ahmad berkata kempen itu bertujuan, antara lain, mendidik masyarakat supaya lebih bertanggungjawab dan tidak berlengah-lengah untuk menjelaskan bayaran kompaun.

Dalam satu kenyataan di sini semalam, Shahrin berkata pengurangan kompaun diberikan untuk kesalahan di bawah Undang-undang Kecil Kedai Gunting Rambut 1983, Undang-undang Taman Kecil (MBSA) 2005, Undang-undang Vandalisme (MBSA) 2005, Undang-undang Establisymen Makanan (MBSA) 2007.

Undang-undang Kecil Pengendalian Makanan (MBSA) 2007, Undang-undang Kecil Iklan (MBSA) 2007, Undang-undang Kecil Penjaja (MBSA) 2007, Undang-undang Pengangkutan Jalan (MBSA) 2007, dan Undang-undang Kecil Pasar (MBSA) 2007.

Beliau berkata tiada pengurangan kompaun bagi kesalahan di bawah Undang-undang Pusat Siber dan Kafe Siber 2007, Undang-undang Kecil Pusat Kecantikan dan Penjagaan Kesihatan (MBSA) 2007, Undang-undang Kecil Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah Sarap (MBSA) 1982 dan 2007, Undang-undang Kerja Tanah (MBSA) 2007, Akta Jalan, Parit dan Bangunan, Kompaun Engkar Arahan Kerja Tanah, Undang-undang Kecil Perlesenan Anjing, kompaun Tunda dan kompaun yang dibawa untuk pendakwaan.

Selain itu, katanya, sesuatu kesalahan yang dikenakan nilai amaun kompaun melebihi RM1,000 juga tidak layak untuk mendapatkan pengurangan.

Shahrin berkata orang ramai boleh menyelesaikan tunggakan kompaun di kaunter MBSA di Tingkat G, Wisma MBSA di sini dan juga di Pejabat Cawangan MBSA di Kota Kemuning, Sungai Buloh dan Setia Alam.

Mereka juga boleh membuat semakan dan bayaran di Pejabat Bergerak Shah Alam On Wheel pada setiap hari Sabtu sepanjang Ramadan di Kompleks membeli belah terpilih di sekitar Shah Alam, katanya.

Sebarang pertanyaan atau penyemakan kompaun boleh menghubungi Jabatan Peng-urusan Hasil dan Pelaburan, MBSA di talian 03-55105133 sambungan 1522 atau 1203 atau melayari laman sesawang MBSA di www.mbsa.gov.my. — Bernama

 

 

Advertisement