Anda di sini

Kerajaan sokong aktiviti persatuan Cina: Harden

Advertisement

SRI AMAN: Kerajaan sememangnya menyokong aktiviti-aktiviti persatuan Cina di negeri ini sama ada dari segi agama mahupun pendidikan.

Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar dan Datuk Francis Harden Hollis berkata wakil rakyat sering menyalurkan peruntukan kepada sekolah dan tokong Cina.

Justeru, kaum Cina yang majoritinya terlibat dalam bidang perniagaan dan mempunyai ekonomi kukuh perlu bersama kerajaan menentukan kestabilan politik dan kemajuan ekonomi dapat terus dipelihara demi kepentingan dan manfaat bersama.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata demikian ketika berucap pada Majlis Angkat Sumpah Ahli Jawatankuasa Penggal 2014-2015 dan Pelancaran Perayaan Ulang Tahun Ke-120 Kesatuan Soon Heng Simanggang di sini malam kelmarin.

Menurutnya, usaha-usaha kesatuan terbukti dengan mendukung konsep 1Malaysia dalam mengukuhkan perpaduan dan keharmonian serta merealisasikan konsep perpaduan dalam perniagaan menerusi konsep 1Malaysia dengan mengajak rakyat Malaysia bersatu padu dan bekerja keras bagi membangunkan ekonomi negara ini.

“Dengan ini, masyarakat Cina yang berkebolehan dalam sektor perniagaan berpeluang membantu mereka yang kurang berupaya dan kurang berada tanpa mengira kaum dan agama,” jelasnya.

Katanya peranan dan tanggungjawab sesebuah persatuan bukan kerajaan (NGO) amat penting dalam gerakan sosioekonomi dan memacu kesedaran bangsa dalam pelbagai bidang mengikut matlamat penubuhannya.

“Terdapat pertubuhan ditubuhkan bagi kemuafakatan ekonomi dan terdapat juga untuk memajukan sosial dan kebudayaan.

“Kebajikan ahli-ahli pertubuhan juga perlu diberi perhatian serius bagi memastikan sesebuah pertubuhan terus mantap dan dihormati,” ujarnya.

Menyentuh mengenai penubuhan kesatuan berkenaan yang menjangkau usia 120 tahun, Harden menjelaskan bahawa tidak banyak pertubuhan yang mampu bertahan begitu lama.

“Mana-mana pertubuhan menghadapi krisis kepimpinan dan tidak berdaya menyelesaikan masalahnya atau kesetiaan ahli tergugat atau pecahnya perpaduan dalaman akan hanya menyebabkan pertubuhan berkubur dengan mudah.

“Kesatuan Soon Heng Simanggang ternyata berjaya menjaga integritinya sehingga ke hari ini dan kesatuan ini harus menjadi contoh kepada kesatuan-kesatuan lain,” katanya.

Hadir sama Ahli Parlimen Sri Aman Masir Kujat, Residen Bahagian Sri Aman Jonathan Lugoh, Pengerusi Kesatuan Datuk Tan Chong Meng, Temenggung Sii Toh Peng, Penghulu Lee Siang Hua, Pengerusi Jawatankuasa Sesi 2014-2015 Tay Ah Tee, pengerusi pengelola Tay Yaw Ming serta ahli-ahli persatuan.

Pada majlis berkenaan, Harden turut mengumumkan peruntukan berjumlah RM20,000 bagi membantu kesatuan itu menjalankan aktivitinya.

Advertisement