Anda di sini

Kaum Cina di Sarawak diminta kembali sokong Barisan Nasional

Advertisement

SRI AMAN: Ahli Parlimen Sri Aman Masir Kujat berkata penyertaan semula MCA dan GERAKAN dalam barisan kabinet kerajaan persekutuan adalah perkembangan positif arena politik negara.

Katanya ini membuktikan orang Cina di Semenanjung Malaysia mula yakin bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak adalah benar- benar seorang pemimpin berjiwa rakyat.

MCA dan GERAKAN sebelum ini menolak untuk menganggotai kabinet persekutuan apabila mereka tewas teruk pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) lalu.

“Kaum Cina kembali menyertai barisan kabinet setelah mendapati kaum itu kembali menyokong kepimpinan Najib dalam meneraju pentadbiran negara,” katanya pada Majlis Makan Malam sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-120 Penubuhan Kesatuan Soon Heng Simanggang di sini malam kelmarin.

Pada majlis itu, Tay Chiu Hua dipilih sebagai pengerusi Kesatuan Soon Heng Simanggang bagi penggal 2014/2015 menggantikan penyandangnya Datuk Tan Chong Meng.

Sehubungan itu, Masir memohon kaum Cina Sarawak terutama di Sri Aman agar mencontohi perkembangan tersebut untuk terus menyokong Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

“Saya mohon kaum Cina kembali menyokong Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN di kawasan Parlimen Sri Aman agar pembangunan dapat diteruskan,” katanya.

Turut hadir Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar dan Menetri Muda Perumahan Datuk Francis Harden Hollis, Residen Bahagian Sri Aman Johnathan Lugoh dan Penasihat Kehormat Kesatuan Soon Heng Simanggang, Datuk Tan Chong Meng.

 

Advertisement