Anda di sini

Impian Aisamuddin gegar ibu negara

Advertisement

Oleh Harry Ilias

BERSEDIA: Aisamuddin (kanan) bersama Q-Eikasit (tiga kanan), Heendrew (tiga kiri) dan rakan sepasukan lain pada SUKMA XVI di Kuala Lumpur.

KUCHING: Pemenang pingat emas dalam acara tinju pada SUKMA XVII di Perlis, Mohd Aisamuddin Mohamad masih menaruh harapan untuk menggondol emas pertamanya dalam acara muaythai yang akan dipertandingkan pada SUKMA 2015 di Kuala Lumpur.

Aisamuddin, 20, pernah menyertai skuad Sarawak pada SUKMA XVI di Kuala Lumpur dalam acara muaythai namun gagal memenangi apaapa pingat.

Justeru, atlet kelahiran Samarahan itu amat berharap untuk mencapai misi itu pada penampilan terakhirnya di pentas SUKMA.

“Memang menjadi impian saya untuk menghadiahkan emas buat Sarawak dalam acara muaythai saya amat meminati sukan ini.

Tambahan lagi SUKMA 2015 adalah yang terakhir buat diri saya,” katanya di sini semalam.

“Saya pernah mencubanya pada tahun lalu tetapi gagal.

Ketika itu, saya belum cukup bersedia dan masih baharu dalam sukan muaythai.

Tetapi kali ini saya yakin sasaran itu mampu saya capai,” ujarnya.

Menurut Aisamuddin, selepas meraih emas dalam acara tinju di Perlis, beliau telah ditawarkan pekerjaan sebagai jurulatih di Kelab Muaythai SS Fighters.

“Tugas sebagai jurulatih di SS Fighters memberi saya peluang untuk meningkatkan kemahiran saya dalam sukan muaythai.

“Ini kerana saya berpeluang menimba lebih banyak lagi kemahiran dan teknik dari jurulatih Q-Eikasit yang secara tak langsung memberi pendedahan terbaik kepada saya,” tambahnya.

Katanya, kejayaan menggondol emas pada SUKMA Perlis meningkatkan keyakinannya untuk mengulangi kejayaan sama pada edisi tahun depan.

“Saya merasa amat bersyukur kerana berjaya memenangi emas dalam acara tinju pada SUKMA setelah beberapa kali gagal untuk mencapainya.

Segala penat lelah saya selama ini amat berbaloi,” katanya.

Acara muaythai diperkenalkan buat pertama kalinya pada SUKMA XVI di Kuala Lumpur.

Semasa edisi tersebut, Sarawak berjaya memenangi satu emas, dua perak dan satu gangsa dengan emas dimenangi Heendrew Lois Rekan.

 

Advertisement