Anda di sini

Empat kampung bersaing merebut ADS1M Peringkat Bahagian Betong

Advertisement

Oleh Saleman Senin

 

PERTANDINGAN Anugerah Desa Sejahtera 1Malaysia (ADS1M) Peringkat Bahagian Betong selesai penghakiman bagi mencari pemenang untuk mewakili Bahagian Betong ke Pertandingan ADS1M Peringkat Negeri Sarawak.

Ketua Hakim Penilai, Harry Don Bosco Biscop berkata sebanyak empat buah kampung dipilih menyertai pertandingan bagi Bahagian Betong iaitu Kampung Wawasan Kabong, Lot Wawasan Melango, Saratok, Kampung Lalang Debak dan Masjid Betong.

Katanya, hanya sebuah kampung terpilih menjadi pemenang dan secara automatik mewakili Bahagian Betong untuk Anugerah Peringkat Negeri Sarawak termasuk sebuah rumah panjang iaitu Rumah Edmund Kumbong, Sungai Ruan Roban, Saratok mewakili kategori rumah panjang.

UNTUK KENANGAN: Hakim bergambar kenangan bersama peserta pertandingan ADS1M Kampung Masjid Betong baru-baru ini.

“Pemenang akan dinilai dalam tujuh aspek disenaraikan, selain disertakan dengan bukti kukuh. Antara perkara yang dinilai ialah aspek kepimpinan dan pentadbiran, pendidikan dan latihan, ekonomi dan usahawanan, patriotisme dan kemerdekaan, kerohanian dan kemasyarakatan, kebersihan, kesihatan dan kecerian serta teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

“Mereka yang mempunyai markah paling banyak dan memenuhi kehendak yang disenaraikan adalah layak memenangi pertandingan tersebut.

“Kami sebagai hakim amat berpuas hati dengan sambutan yang diberikan oleh peserta dan mereka lengkap dengan persembahan dan pembentangan bagi memperjelaskan berkenaan kampung mereka.

“Adalah amat sukar untuk kami menilai permarkahan tetapi disebabkan semua penilaian dilengkapkan dengan markah yang disediakan oleh jawatankuasa penganjur memudahkan kami memberi markah bagi setiap aspek.

RANCAK: Persembahan tandak yang menghiburkan pada ADS1M Betong baru-baru ini.

“Apapun keputusan akan diberikan setelah pihak jawatankuasa merumuskan dalam satu mesyuarat yang akan diadakan nanti,” katanya ketika mengulas pertandingan ADS1M yang dinilai pada hujung minggu lalu.

Terdahulu penilaian pertandingan tersebut dilakukan selama dua hari bermula di Kampung Wawasan Kabong dan Lot Wawasan Melango Saratok pada hari pertama dan Kampung Lalang Debak dan Masjid Betong hari seterusnya.

Program dianjurkan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) dikelolakan oleh Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) mendapat sambutan menggalakkan daripada peserta yang mengambil bahagian.

Hadir sama para hakim serta pegawai-pegawai KEMAS Daerah Betong.

Advertisement