Anda di sini

Ekspo ICT Sarawak 2014 kembali lagi

Advertisement

Oleh Hamimi Kassim

KUCHING: Bertemakan ‘Your Digital Lifestyle and Computer’, pameran barangan ICT terbesar Sarawak, Ekspo ICT Sarawak 2014 kembali lagi pada 4 hingga 6 Julai ini di Pusat Pameran CityONE mulai jam 11 pagi hingga 9 malam.

Pengerusi Penganjurnya Jong Fui Ming berkata, pameran ini dianjurkan oleh Persatuan Perniagaan Komputer Kuching (KCBA) dan kelainan pada tahun ini adalah ia pertama kali diadakan di pusat belibelah.

“Acara tahunan kali ke-13 yang diadakan buat pertama kalinya di CityONE ini pasti menjadikannya paling besar dalam sejarah penganjurannya di negeri ini, selain mengesahkan statusnya sebagai sebuah peristiwa penting dalam industri ICT.

“Justeru, kami ingin melihat sambutan orang ramai di lokasi baharu ini kerana selain lokasi baharu kami turut menyediakan pelbagai tarikan terutama dari segi produk dan aktiviti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai ekspo tersebut di pejabatnya di sini, semalam.

Tambahnya, sebanyak 110 gerai pameran mengambil bahagian pada ekspo tahun ini dan fokus utama adalah di tingkat satu dewan pameran yang dikhaskan untuk pameran peranti mudah alih, komputer, perisian serta perkakasan komputer dan kamera digital.

“Selain penyertaan pelbagai syarikat telekomunikasi, turut mengambil bahagian ialah jenama telefon pintar dan tablet terkenal seperti Samsung, Acer, Asus, Lenovo serta Sony.

“Selain itu turut ditampilkan pada ekspo ini nanti ialah beberapa jenama baharu seperti telefon Samsung Galaxy S5 dan Acer Apire Switch 10,” jelasnya sambil menambah pada tahun ini juga, Telekom Malaysia selaku penaja utama acara ini turut membawa pelbagai tawaran menarik seperti taklimat mengenai HyppTV serta perkhidmatan jalur lebar UniFi.

Selain pameran dan jualan, pengunjung berpeluang berpeluang mengikuti acara cabutan bertuah yang diadakan empat kali setiap dua jam bermula jam 2 petang.

Jelas Jong, untuk layak menyertai cabutan bertuah ini pengunjung perlu membuat pembelian RM300 dan ke atas dalam satu resit.

“Pemenang perlu hadir untuk layak menebus hadiah dan hadiah utama bagi cabutan bertuah akan diadakan pada jam 8.30 malam hari Ahad di mana semua kupon cabutan bertuah sepanjang ekspo akan digabungkan.

“Ini bermaksud, setiap pelanggan mempunyai dua peluang untuk memenangi hadiah,” tambahnya.

Selain itu, satu lagi aktiviti menarik menanti pengunjung ialah acara ‘lelongan’ yang mana semua barang yang disediakan seperti iPad, telefon pintar, TV Led 32″, projektor, komputer serta pencetak HP dan banyak lagi dilelong dengan harga bidaan bermula RM1.00.

“Bukan itu sahaja, orang ramai boleh mendapatkan beratus baucar tunai RM5 dengan memotong kupon pada iklan surat khabar dan menebusnya di kaunter penebusan KCBA yang hanya sah dalam tempoh tiga hari,” katanya.

Di samping itu jelasnya, terdapat kempen derma darah dan organ diadakan selain pemeriksaan kesihatan dan pertandingan mewarna kanak-kanak untuk pelajar sekolah rendah anjuran Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Stampin dan Pusat Perubatan Pakar Normah (NMSC).

“Kempen ini diadakan pada jam 11 pagi hingga 3 petang manakala pertandingan mewarna diadakan dari jam 2 petang dan bagi penderma darah, mereka turut layak menyertai acara cabutan bertuah.

“Untuk keterangan lanjut sila hubungi Wendy di talian 0198182244,” jelasnya.

Sementara itu, Pengerusi KCBA Lee Kim Seng berkata, pada tahun ini KCBA bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Sarawak mengadakan Kempen Mengumpul Sisa-E di gerai 51 dan 52.

Jelasnya, kempen ini merupakan usaha untuk meningkatkan kesedaran pengguna komputer untuk memelihara alam sekitar.

“Melalui kempen ini kami berharap dapat mengumpul dan mengitar semula semua peralatan elektronik berasaskan sim seperti telefon mudah alih, iPad, PDA serta modem/ dongle jalur lebar.

“Bagi memeriahkan lagi kempen ini, kami turut menawarkan baucar tunai kepada 150 orang pengunjung pertama dan kempen ini akan berlangsung sepanjang ekspo dari jam 11 pagi hingga 5 petang,” jelasnya.

Selain kempen KCBA dan SKMM, KCBA turut bekerjasama dengan sebuah syarikat berlesen, Hom Kim Recycling Co Sdn Bhd yang turut bekerjasama mengumpul sisa-E yang diletakkan di kawasan pintu masuk tempat letak kerata CityONE.

Pengunjung yang membawa masuk monitor LCD/CRT atau sebuah CPU bagi pusat pungutan ini, turut berpeluang memenangi cabutan bertuah.

Selain itu katanya, turut diadakan jualan buku GST dan latihan bagi melatih dan mempersiapkan masyarakat bagi Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang akan bermula April 2015.

“Turut diadakan jualan buku GST dalam edisi bahasa Inggeris dan Cina manakala bagi pengunjung yang berminat untuk menyertai latihan GST boleh mendaftar di pusat penebusan KCBA,” tambahnya.

MARI MERIAHKAN: Wong (dari kiri), Ngieng, Jong, Lee, Albert dan Sean bergambar selepas sidang media mengenai Ekspo ICT Sarawak 2014 yang akan berlangsung pada Jumaat hingga Ahad ini di Pusat Pameran CityONE.

Turut diadakan ialah HP Anti-Counterfeit (ACF) oleh HP yang memberi kesedaran dan mendidik pengguna kepentingan membeli dan membezakan dakwat dan toner asli dan tidak.

Pelbagai aktiviti lain seperti permainan dan pelanggan turut berpeluang membawa pulang mesin cetak HP 2520 dalam aktiviti cabutan bertuah yang dianjurkan bagi pembeli manamana produk HP, jelasnya.

Maklumat lanjut mengenai tempahan gerai, sila hubungi KCBA di talian 082-255108 atau e-mel kepada admin@ kcba.org.my.

Jangan lepaskan peluang untuk mengambil bahagian dalam acara besar ini dan tempah sekarang kerana bilangan gerai adalah terhad.

Turut hadir pada sidang media itu ialah Pengurus Pembangunan Perniagaan Acer Wong Ho Lock serta ahli jawatankuasa KCBA Albert Jee, Sean Liak Jin Seng dan Ngieng Seng Chuong.

Advertisement