Anda di sini

Bimbang bil elektrik tidak kunjung tiba

Advertisement

Oleh Kepu Sidi

SARATOK: Lebih 1,000 penduduk menggunakan perkhidmatan bekalan ele­ktrik yang disalurkan Sya­rikat SESCO Berhad di kawasan Parlimen Saratok berada dalam kebingungan apabila bil elektrik mereka tidak kunjung tiba sejak dua bulan kebelakangan ini.

Keadaan ini menimbulkan pelbagai reaksi masyarakat dan apa yang nyata rasa ketidakpua­san dengan taraf perkhidmatan disediakan pihak terbabit hangat diperkatakan.

Seorang penduduk, Geling Binjai, 43, berkata terdapat pelbagai informasi diperolehi daripada masyarakat tentang keadaan itu.

“Menurut seorang rakan saya yang telah pergi ber­tanyakan perkara itu kepada pihak berkaitan di Saratok, pihak terbabit menjelaskan bahawa pekerja yang bertugas membuat pembacaan meter elektrik dari rumah ke rumah sudah tidak bertugas lagi.

“Pada masa sama, pihak terbabit turut berpesan ke­pada rakan saya menyuruh mana-mana pihak yang ingin membayar bil dikehendaki menulis nombor yang terdapat pada meter di rumah masing-masing untuk dirujuk kepada pihak terbabit bagi mengeta­hui tentang status penggunaan bil eletrik mereka.

“Berita dan maklumat ini menimbulkan pelbagai pan­dangan masyarakat.

“Apa yang jelas masyarakat dan pengguna terlibat terny­ata tidak berpuas hati dengan perkhidmatan disediakan pihak terbabit,” kata Geling ketika menghubungi media bagi menyuarakan masalah tersebut, di sini semalam.

Menurut Geling, masalah itu berlaku melibatkan peng­gunaan elektik untuk Mei dan Jun.

“Apa yang merisaukan penduduk hingga kini, jum­lah pembayaran yang bakal mereka lunaskan untuk dua bulan terbabit.

“Kita yakin ia pasti meli­batkan jumlah bil eletrik yang besar, apatah lagi pada Jun lalu penggunaan elektrik khu­susnya masyarakat di rumah panjang melonjak naik dari penggunaan biasa berikutan sambutan Hari Gawai.

“Keadaan ini sudah pasti membebankan kerana pasti melibatkan jumlah pem­bayaran yang banyak akibat bil terkumpul untuk tempoh dua bulan,” jelas Geling.

Sementara itu, Rosnah Leman, 56, berkata keadaan seperti ini sepatutnya tidak berlaku.

“Kita harus ingat bukan semua orang yang bijak tahu membuat bacaan meter elektrik.

“Pihak terbabit sewajarnya mengambil langkah drastik mengatasi masalah ini kerana ia bukannya satu masalah yang serius.

“Jika tidak ada pekerja, cari­lah pekerja kerana pada masa kini banyak belia kita yang memerlukan pekerjaan asalkan gaji diberikan berpatutan den­gan tugas yang dilaksanakan.

“Perkara yang kecil seperti ini sepatutnya tidak berlaku kerana ia akan mengakibatkan masyarakat menanggung be­ban,” kata Rosnah.

Menurutnya, hingga jam 12 tengah hari semalam tiada sebarang perkembangan mengenai masalah itu khusus kunjungan pihak terbabit dengan pembacaan bil meter elektrik di kawasan itu.

Masalah itu turut menjadi isu debat hangat di ruang Facebook penduduk di lokasi terbabit yang menyuarakan pelbagai rasa tidak puas hati dengan perkhidamatan pihak berkenaan.

 

Advertisement