Anda di sini

Wilmots tunggu aksi terbaik Hazard

Advertisement

MOGI DAS CRUZES, Brazil: Jurulatih Belgium, Marc Wilmots pada Ahad lalu berkata dia sedang menunggu untuk melihat prestasi terbaik Eden Hazard selepas Piala Dunia yang senyap bagi bintang Chelsea itu setakat ini.

Pemain tengah yang dinamik itu dijangka akan menyinar di Piala Dunia ini tetapi dia belum menjaringkan gol dan hanya ada pengaruh yang terhad dalam tiga kemenangan Belgium pada peringkat kumpulan.

“Saya rasa buat masa sekarang Eden mahu bermain dengan lebih baik lagi. Dia dapat melakukan banyak perkara untuk kami, saya rasa semua orang tahu,” kata Wilmots kepada pemberita di pusat latihan pasukan.

“Sekarang saya menunggu untuk melihatnya. Ia bukan persoalan mengenai memberi tekanan ke atasnya kerana saya tahu dia sudah pun menerima banyak tekanan.

“Namun saya sedang menunggu untuk melihatnya menguasai perlawanan dan menyerlahkan diri. Walaupun pada usia 23 tahun dia masih muda untuk berbuat demikian.”

Hazard akan mendapat satu lagi peluang untuk menyinar dalam perlawanan kalah mati pada awal pagi esok menentang Amerika Syarikat yang dilatih dengan ketat oleh Jurgen Klinsmann.

Dia direhatkan bagi perlawanan kumpulan terakhir Belgium, di mana mereka menang 1-0 ke atas Korea Selatan, tetapi mempamerkan kualiti apabila dia dimasukkan pada minit terakhir dan hampir menjaringkan gol.

“Dia dapat mencari ruang dan menjaringkan gol. Kami sudah sama-sama membincangkannya – dia mahu lebih tegas tetapi ada perbezaan di antara mengatakannya dan melakukannya,” kata Wilmots.

“Saya yakin kepadanya dan saya rasa seluruh Belgium yakin kepadanya tetapi saya rasa ia memerlukan usaha kolektif daripada semua kami untuk melakukannya.” — AFP

Advertisement