Anda di sini

Wartawan perlu pastikan inti pati kewartawanan bersandar kebenaran dan fakta

Advertisement

MIRI: Golongan wartawan di negeri ini perlu memastikan inti pati kewartawanan bersandarkan kebenaran dan fakta dalam menyebarkan maklumat kepada pembaca.

Presiden Persekutuan Persatuan Wartawan Sarawak (FSJA) Phyllis Wong berkata dalam kewartawanan, kebenaran adalah teras utama meskipun kadangkala kebenaran itu menyakitkan.

“Kesetiaan kita adalah kepada pembaca. Tidak kira bagaimana media dunia berubah dengan penggunaan media sosial dan portal berita dalam talian, namun kita tidak boleh menggadai inti pati berita yang sahih,” katanya pada majlis ringkas pemilihan sebagai presiden baharu FSJA di Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Miri, semalam.

Phyllis menambah, pengamal media tempatan juga tidak harus memandang ringan dalam memaparkan berita yang menarik, relevan dan membina sehingga mengetepikan kebenaran fakta dan maklumat.

“Kita perlu melaporkan apa sahaja yang benar, murni, betul dan cemerlang dan apa sahaja nilai yang terpuji harus dipaparkan kepada pembaca,” katanya.

Terdahulu, Phyllis turut berterima kasih kepada FSJA kerana memberi kepercayaan memilih beliau sebagai presiden baharu untuk memimpin FSJA.

“Berdasarkan pengalaman sebagai presiden FSJA lebih sedekad lalu, bukannya senang untuk menguruskan acara dengan ahli-ahli jawatankuasa yang bertugas di lokasi berbeza di Kuching, Sibu dan Miri.

“Namun, saya percaya ahli-ahli jawatankuasa mampu melakukan yang terbaik dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing sebagai wartawan. Saya memohon kerjasama dan nasihat sepanjang saya memegang jawatan ini,” katanya.

Phyllis merupakan Pengarah Editorial The Borneo Post dan Utusan Borneo yang berpangkalan di Kuching.

Selain itu, beliau merupakan kolumnis di The Borneo Post dan merupakan Ahli Lembaga Berita Nasional Malaysia (Bernama) sejak 2002.

Advertisement