Anda di sini

Umat Islam perlu berubah lebih baik

Advertisement

Oleh Mastura Ismail //

Ramadan perlu dijadikan institusi pembelajaran bagi perbaiki kelemahan, kesilapan

LIMBANG: Umat Islam perlu melakukan perubahan ke arah yang lebih baik daripada aspek jiwa dan peribadi dengan ketibaan Ramadan Al Mubarak ini demi kemajuan diri, masyarakat dan negara.

Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah berkata Ramadan perlu dijadikan sebagai institusi pembelajaran untuk memperbaiki segala kelemahan dan kesilapan yang dilakukan sebelum ini.

“Dengan tibanya Ramadan, umat Islam perlu melakukan perubahan baik secara individu, jiwa dan peribadi dengan memperbaiki kesilapan agar Ramadan ini diisi dengan penuh keberkatan,” katanya ketika merasmikan Bazar Ramadan di Lot 777 di sini petang kelmarin.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota Dr Abdul Rahman Ismail, Residen Bahagian Limbang Maria Hasman, Walikota Majlis Daerah Limbang (MDL) Kaunselor Sufian Mohat, Timbalannya Waslee Tuah, Penolong Pegawai Daerah Limbang Suhandi Tugiman dan Pemanca Alie Jahar.

Hasbi berkata, Ramadan perlu diselusuri dengan melakukan perkara berfaedah sejajar dengan ganjaran yang terkandung dalam bulan mulia itu.

“Inilah bulan keberkatan dan peluang kepada kita mencari rezeki selain memperbanyakkan amal ibadah untuk mendapatkan sebanyak mungkin pahala,” katanya.

Beliau menambah, Ramadan disambut dengan penuh kesyukuran, kegembiraan dan ketenangan kerana berpeluang bertemu dengan bulan mulia ini pada tahun ini.

“Kita harus bersyukur kerana dapat bertemu lagi dengan Ramadan dan melakukan perubahan serta azam terbaik untuk meningkatkan amal ibadah demi meraih segala ganjaran yang diberikan Allah,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau mahu peniaga bazar Ramadan berusaha menambah pendapatan dengan berniaga di bazar Ramadan.

Pada masa sama, katanya aspek kebersihan makanan dan kawasan berjaja harus dijaga sebaiknya demi keselesaan orang ramai yang mengunjungi bazar tersebut.

“Selain orang Islam, masyarakat bukan Islam juga akan mengunjungi bazar ini saban tahun.

“Oleh itu, makanan dan kawasan berjaja perlulah bersih selain mengelak menjadi kawasan pembiakan nyamuk aedes,” tambahnya.

Beliau juga mahu MDL dan Jabatan Kesihatan melakukan pemantauan berterusan sepanjang penganjuran bazar ini.

Seramai 142 peniaga menyertai bazar Ramadan di sini.

Sehubungan itu, Sufian menasihati orang ramai dan peniaga agar menitikberatkan aspek kebersihan dan tidak meletak kenderaan dan memunggah barang di jalan utama bagi mengelak kesesakan.

Pada majlis itu, Baitulmal turut menyampaikan sumbangan dan bantuan kepada mereka yang ditimpa musibah selain penyampaian hadiah Petronas kepada pemenang Pertandingan Mewarna.

Advertisement