Anda di sini

Tiada arahan mulakan projek jalan RM1b

Advertisement

Oleh Mahathir Haroun //

Selepas arahan diterima maka projek tersebut akan dimulakan dengan segera: Manyin

KUCHING: Arahan masih belum diterima daripada kerajaan persekutuan untuk memulakan pelaksanaan projek jalan bernilai RM1 bilion di negeri ini, kata Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan Dato Sri Michael Manyin.

Beliau berkata, selepas arahan diterima maka projek tersebut akan dimulakan dengan segera.

Menurutnya, antara projek tersebut termasuk Jambatan Batang Samarahan bernilai RM150 juta, pembinaan jalan dua lorong dari Batu 10 ke Batu 15 Jalan Kuching-Serian (RM80 juta), jalan bernilai RM145 juta dari Emart Matang ke Batu Kawa dan jalan dari Kanowit ke Kapit (RM400 juta).

“Kita mempunyai banyak projek besar di bawah ke-rajaan persekutuan yang masih belum bermula hingga hari ini.

“Peruntukan untuk projek ini sudah diluluskan tetapi kita masih menunggu arahan mengenai proses tender sama ada dilakukan secara tender terbuka atau tender terpilih,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menerima kunjungan hormat jawatankuasa penganjur Kejohanan Golf Bidayuh Sedunia (WBGC) Ke-10 semalam.

Pada masa sama Manyin berharap semua projek itu dimulakan dalam masa terdekat kerana Lembaga Peran-cangan Negeri (SPA) sudah meluluskan pelarasan jalan.

Beliau menambah, rakyat Sarawak telah menunggu projek jalan mega siap untuk menjimatkan masa perjalanan.

Menurut Manyin lagi, terdapat beberapa projek tertangguh kerana sekatan jalan yang dilakukan termasuk projek bernilai RM94 juta di Long Lama menyebabkan kontraktor tidak dapat memulakan projek.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan secara terperinci punca penduduk di kawasan tersebut melakukan sekatan itu.

Dalam perkembangan lain, Manyin tidak bersetuju dengan cadangan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2013 mengenai kewujudkan jabatan yang spesifik meng-uruskan loji rawatan air (WTP) di negeri ini.

Beliau berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) setakat ini memantau lebih 80 WTP termasuk yang kecil di luar bandar.

Advertisement