Anda di sini

TERAS bukan ancaman parti komponen BN

Advertisement

KUCHING: Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS) bukan ancaman kepada parti-parti komponen Barisan Nasional (BN).

Sebaliknya menurut pemimpin TERAS Tan Sri William Mawan Ikom, TERAS adalah penyelesaian kepada kemelut dalaman yang dihadapi parti komponen BN iaitu Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).

“Saya berharap rakan-rakan parti dalam BN akan menyedari bahawa peranan kami adalah untuk menguatkan BN dan bukan sebaliknya.

“Parti komponen BN harus sedar bahawa kami bukan ancaman kepada mereka tetapi cuba menyelesaikan kemelut yang dihadapi ketika ini. Inilah yang kami cuba selesaikan,” katanya.

Mawan berkata demikian pada sidang media sempena pelancaran penubuhan exco protem TERAS N.15 Muara Tuang di kediaman Pengerusi Protemnya Edward Brandah Madi di Lorong Panglima Kala Off Jalan UiTM, Samarahan di sini semalam.

Tambah bekas presiden SPDP ini yang juga Menteri Kanan dan Menteri Pembangunan Sosial, meskipun TERAS baharu bermula tetapi sokongan dan permohonan keahlian amat memberangsangkan.

“Saya cuba untuk mempercepatkan Perhimpunan Agung Tiga Tahun Sekali (TGA) dan mengadakannya lebih awal daripada tarikh 26 Julai tetapi kami tidak dapat berbuat demikian kerana banyak perkara yang perlu diselesaikan mengikut peringkat.

“Kami tidak mahu tergesa-gesa sehingga melanggar peraturan dan undang-undang yang harus dipatuhi oleh mana-mana parti.

“Malam ini anda boleh lihat golongan muda termasuk yang tidak pernah menyertai politik hadir menyokong perjuangan TERAS.

“Saya fikir inilah TERAS sebenarnya dan kami wakil-wakil rakyat BN dalam TERAS percaya lebih ramai penyertaaan akan diterima dalam parti ini pada masa akan datang,” tambahnya.

Mawan pada sidang media tersebut turut menegaskan bahawa TERAS bukan sekadar untuk keseronokan mereka yang menyertainya.

“Kami tidak melakukannya hanya untuk keseronokan. Jadi saya harap dengan TERAS rakyat Sarawak akan lebih yakin terhadap BN.

“Saya percaya kami pasti akan menemui tempat dalam BN dan buat masa ini TERAS adalah kenderaan untuk kami berkhidmat di bawah BN.

“Justeru, kami TERAS mengajak golongan muda, profesional termasuk mereka yang tidak pernah menyertai politik untuk menyertai TERAS demi masa depan yang cerah,” ujarnya.

Menyentuh mengenai perbalahan kerusi antara parti komponen BN, Mawan berpendapat sesiapa sahaja berhak untuk menyuarakan pendapat mereka.

Tetapi pada akhirnya menurut Mawan, bukan kepentingan peribadi atau mana-mana kumpulan yang menjadi penentu kepada peruntukan kerusi.

Ia akan ditentukan atas kepentingan BN demi kemenangan yang harus dipatuhi oleh semua pihak.

Advertisement