Anda di sini

Tahap kawalan keselamatan di Kampung Debak Laut terus dipertingkatkan

Advertisement

DEBAK: Tahap kawalan keselamatan di Kampung Debak Laut akan terus dipertingkat dengan adanya sesi rondaan sempena bulan Ramadan oleh Skim Rondaan Sukarelawan (SRS) Debak Laut Hulu.

Diketuai Abdul Manaf Jemain bersama 18 anggota, kawalan keselamatan di kampung itu turut mendapat kerjasama daripada Pasukan Sukarelawan Malaysia (RELA) Debak Laut Hulu.

Pengerusi Induknya Abang Suhaimi Abang Mohammad berkata, rondaan yang bermula malam Sabtu lalu itu akan diteruskan sepanjang bulan ini sehingga malam raya.

“Operasi rondaan bermula pada jam 9 malam dan anggota SRS serta RELA, kita akan bahagikan kepada dua kumpulan dengan setiap malam enam anggota SRS dan dua anggota RELA.

“Operasi rondaan berakhir sekitar jam 1.30 pagi di pondok SRS (baharu disiapkan) di kampung Debak Laut Hulu yang menjadi lokasi pertemuan setelah rondaan dilaksanakan,” katanya ketika menghubungi Utusan Borneo semalam.

Tambahnya, dalam rondaan tersebut turut dilaksanakan sekatan jalan masuk ke Kampung Debak Laut Hulu pada setiap malam.

Sementara itu, Abdul Manaf berkata secara keseluruhannya keadaan di kawasan Kampung Debak Laut masih lagi selamat dan terkawal dengan pihaknya tidak mengesan sebarang aktiviti tidak berfaedah menerusi rondaan pertama itu.

“Pihak SRS Kampung Debak Laut Hulu akan terus melapor kepada pihak polis sekiranya terdapat aktiviti jenayah yang dikesan menerusi operasi yang dijalankan ini.

“Malah, rondaan sepanjang bulan Ramadan ini turut mendapat kerjasama daripada pihak polis,” ujarnya.

Justeru, Abdul Manaf berharap operasi rondaan Kampung Debak Laut Hulu ini akan dapat membantu pihak polis membendung berlakunya kejadian jenayah dan penduduk kampung dapat memberikan kerjasama kepada mereka.

Advertisement