Anda di sini

Suburkan bersatu dalam kepelbagaian budaya

Advertisement

Oleh Mastura Ismail //

Ketepi perbezaan demi keharmonian kaum keseluruhannya

LIMBANG: Konsep bersatu dalam kepelbagaian budaya perlu terus disuburkan dalam kalangan warga Jabatan Penjara di negeri ini sekali gus mengetepikan perbezaan kaum, agama dan wilayah demi keharmonian kaum keseluruhannya.

Pengarah Penjara Sarawak Abdul Kadir Rais berkata suasana keharmonian dan kesatuan yang diamalkan selama ini tidak harus dihadkan kepada warga Jabatan Penjara sahaja tetapi kepada penduduk di Sarawak dan Malaysia amnya.

“Kepelbagaian 1,001 budaya ini perlu terus disuburkan dalam kalangan kita dengan mengetepikan segala perbezaan agama, wilayah dan kaum demi kesatuan bersama,” katanya pada Majlis Sambutan Hari Gawai Dayak Peringkat Penjara Negeri Sarawak di sini baru-baru ini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Penjara Limbang Charin Promwichit dan jemputan lain.

Abdul Kadir berkata Hari Gawai satu perayaan yang mampu menterjemahkan semangat perpaduan pelbagai kaum di negeri ini kerana turut diraikan pelbagai kaum lain.

“Hari Gawai perlu disambut dengan meriah dan dijadikan sebagai medium untuk kita terus memperkukuhkan hubungan dan kerjasama,” katanya.

Terdahulu Charin berkata warga Jabatan Penjara Limbang harus mengekalkan kerjasama dalam menjayakan pelbagai program dan aktiviti yang diadakan.

“Kerjasama ini amat penting sebagai penanda aras kejayaan kita dalam menjayakan sesuatu program yang dirancang.

“Malah dengan adanya semangat tersebut segala yang dirancang akan mudah dan lancar dilaksanakan secara bersama,” ujarnya.

Charin berkata lagi semangat 1Malaysia perlu ditonjolkan dalam semua perayaan yang ada di negara ini tidak terhad kepada Gawai sahaja, tetapi perayaan lain seperti Hari Raya, Tahun Baharu Cina dan perayaan lain.

Mengulas mengenai Hari Gawai, katanya perayaan itu disambut sempena  pesta selepas menuai yang disambut oleh masyarakat Dayak yang merangkumi pelbagai etnik.

Pelbagai aktiviti diadakan termasuk persembahan hiburan, upacara ngentas ranyai, ngiling bidai dan lawatan ke empat gerai makanan dan minuman.

Advertisement