Anda di sini

Serangan boleh menjadi pertahanan terbaik, kata Klinsmann

Advertisement

SALVADOR, Brazil: Jurulatih Amerika Syarikat (AS), Jurgen Klinsmann berkata serangan akan menjadi bentuk pertahanan yang terbaik apabila pasukannya yang dianggap ‘underdog’ (pasukan bukan pilihan) berentap dengan Belgium pada jam 4.00 pagi nanti (Rabu 2 Julai) untuk merebut tempat pada peringkat suku akhir Piala Dunia.

AS mengetepikan semua ramalan sebelum kejohanan apabila mereka berjaya mara dari Kumpulan G yang begitu mencabar, dengan menduduki tempat kedua di belakang Jerman tetapi di hadapan Portugal dan Ghana.

Bagaimanapun Klinsmann mengakui pasukannya mesti meningkatkan usaha ekoran kekalahan 1-0 pada Khamis lepas kepada Jerman di Recife jika mereka mahu membuat satu lagi kejutan dengan menyingkirkan Belgium, yang dianggap ramai sebagai kuda hitam di kejohanan ini.

Khususnya membimbangkan bagi Klinsmann adalah serangan pasukannya.

Menurut statistik FIFA yang dikumpul selepas pusingan pertama selesai, AS hanya melancarkan 72 serangan sahaja dalam tiga perlawanan – yang meletakkan mereka di tempat ke-31 di antara 32 pasukan.

Klinsmann berkata dia mahu mengubah trend itu ketika menentang pasukan Belgium yang mungkin akan bermain tanpa dua pemain pertahanan tengah Vincent Kompany dan Thomas Vermaelen selepas kedua-dua pemain itu mengalami kecederaan.

“Ia ternyata sesuatu yang kami pelajari dari perlawanan menentang Jerman,” kata Klinsmann.

“Kami bermain terlalu bertahan, terutamanya dalam tempoh 20 minit pertama.

“Saya menjerit sekuat mungkin untuk mengeluarkan barisan belakang dan menggerakkan seluruh unit lebih ke hadapan.

“Jadi kami akan mengusahakannya dalam latihan selama beberapa hari ini, untuk menggerakkan seluruh permainan ke hadapan dan memberi lebih banyak tekanan ke atas pasukan lawan dan mencipta lebih banyak peluang. Ini sebenarnya adalah salah satu matlamat kami.

“Ia adalah bagus di sebelah lain. Kami tidak melepaskan terlalu banyak peluang. Namun ini adalah sesuatu yang kami perlu buat dengan lebih baik, kami perlu menggerakkan pemain lebih jauh ke hadapan dan mencipta peluang.”

Klinsmann dikritik oleh sebahagian media AS sehari sebelum kejohanan kerana menyatakan pasukannya tiada peluang kejayaan yang realistik.

Namun sejak mereka mara ke peringkat kalah mati, Klinsmann telah mengubah cara, dengan yakin memberitahu pemainnya mereka dapat melangkah lebih jauh daripada peringkat 16 terakhir dan mengarahkan mereka untuk menukar penerbangan pulang sehingga Isnin selepas perlawanan akhir pada 13 Julai.

Pasukannya juga akan menentang pasukan lawan yang biasa bagi mereka.

Dalam dua perlawanan persahabatan sejak tiga tahun lalu, Belgium telah mencatatkan dua kemenangan, menang 1-0 pada 2011 sebelum mencatatkan kejayaan 4-2 di tempat lawan pada Mei tahun lepas.

“Mereka penuh dengan bakat individu, itu tidak dapat diragui,” renung Klinsmann.

“Kami ada peluang untuk menentang mereka sebanyak dua kali sejak dua tahun lalu. Kedua-dua kali mereka muncul sebagai pasukan yang menang, tetapi kami juga percaya kami boleh memiliki keyakinan yang cukup menjelang perlawanan kalah mati yang sangat istimewa ini untuk berkata kami dapat menewaskan mereka.”

Sementara itu rakan sejawatan Klinsmann bersama Belgium Marc Wilmots menepis cakap-cakap bahawa pasukannya setakat ini gagal menyumbang kepada pesta bola sepak serangan yang disajikan di Piala Dunia ini.

Tiga kemenangan kumpulan ke atas Algeria, Rusia dan Korea Selatan diperolehi dengan permainan yang membosankan tetapi Wilmots tidak bimbang.

“Jika anda bertanya sama ada saya lebih suka mempamerkan pertunjukan yang bagus dan tersingkir pada peringkat pertama, atau memenangi perlawanan 1-0, saya lebih suka menang 1-0,” kata Wilmots.

“Ia adalah jelas – kita perlu bersikap realistik dan mengambil hati orang lain bukan matlamat kami.” — AFP

Advertisement