Anda di sini

Sebutan lanjut kes buruh kelar isteri sehingga mati, 5 Ogos

Advertisement

MIRI: Mahkamah Majistret, di sini semalam menangguhkan sehingga 5 Ogos akan datang untuk sebutan lanjut kes seorang buruh ladang warga asing yang dituduh mengelar isterinya sehingga mati.

Manakala tertuduh diperintahkan supaya ditahan lanjut di Penjara Pusat Lambir sementara menunggu tarikh tersebut.

Penangguhan itu dibuat Majistret Lovely Natasha Charles setelah membenarkan permohonan yang dikemukakan pegawai pendakwa Inspektor Norliza Abdullah.

Dalam permohonannya, Norliza memohon agar ditetapkan satu tarikh baharu untuk sebutan lanjut kes ini memandangkan laporan kimia berhubung barang kes masih belum siap.

Tompo Yara, 39, dari Indonesia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh dengan niat melakukan pembunuhan sehingga menyebabkan kematian Salasiah Jama.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu jam 2 pagi, pada 16 Januari tahun ini di rumah No. 1 Blok Miri LKS 8, Ladang Kuala Suai Tradewind Plantation Sdn Bhd, Suai.

Dalam kejadian itu, tertuduh telah bertindak demikian dipercayai akibat cemburu kerana menyangka isterinya ada hubungan sulit dengan seorang rakan sekerja di ladang sama.

Advertisement