Anda di sini

Rakyat di Kanowit kini banyak terima kemudahan kerajaan

Advertisement

KANOWIT: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah Alexander Vincent melahirkan rasa gembira kerana ramai rakyat di kawasannya menyedari mengapa mereka perlu terus menyokong dan bekerjasama dengan kerajaan.

Beliau berkata keadaan ini amat ketara sekarang berbanding kira-kira empat hingga lima tahun lalu semasa beliau mula-mula menjadi wakil rakyat mereka.

“Kebanyakan pemimpin masyarakat di Ngemah memberitahu saya bahawa mereka mendapat banyak manfaat dan bantuan daripada kerajaan.

“Sebagai contohnya, melalui pengagihan geran projek kecil luar bandar (MRP), melaksanakan projek infrastruktur dan program ekonomi untuk meningkatkan taraf hidup rakyat,” katanya pada Majlis ‘Ngiling Bidai’ di Rumah Ambrose Pengiran di Nanga Ngungun di sini, Jumaat lalu.

Alexander berkata beliau bersyukur kerana rakyat telah mengundinya pada Pilihan Raya Negeri 2011.

Jelasnya, beliau akan terus melakukan yang terbaik untuk memenuhi mandat yang diberikan rakyat kepadanya.

“Saya faham bahawa terdapat aduan daripada rakyat dan itulah sebabnya saya turun padang setiap hujung minggu memenuhi keperluan rakyat serta memahami masalah mereka,” ujarnya.

Beliau mengulangi bahawa Ngemah diperuntukkan RM1.5 juta untuk melaksanakan pelbagai projek pembangunan di kawasan itu tahun ini.

Pada majlis sama, beliau menyampaikan geran kerajaan untuk membantu penduduk rumah panjang di Nanga Ngungun yang terjejas akibat banjir pada Disember tahun lalu.

Beliau turut mengumumkan geran RM15,000 untuk Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Ambrose Pengiran.

Advertisement