Anda di sini

Penduduk dua kampung bantah pencerobohan ke atas tanah mereka

Advertisement

KUCHING: Penduduk Kampung Sebat Dayak dan Kampung Siru Dayak Sematan, kira-kira 200 kilometer dari sini memohon pihak berwajib menghentikan segera tindakan sebuah syarikat perladangan kelapa sawit yang didakwa menceroboh tanah mereka.

Menurut Nanty Binglai, 48,  wakil penduduk kampung berkenaan berkata pihaknya amat terkejut apabila menge-tahui tanah tempat mereka bercucuk tanam selama ini iaitu di Lot 1014 Blok 8 Pueh Land District telah dilesenkan kepada sebuah syarikat perladangan dan dikatakan sebahagian daripada milik syarikat tersebut.

Beliau turut memberitahu bahawa tanah seluas kira-kira 280 ekar itu merupakan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) mereka kerana telah diusahakan sejak 1936.

“Tanah kami hanya kira-kira 200 meter dari kampung kami dan bersebelahan dengan tanah diusahakan oleh syarikat berkenaan.

“Kami mengusahakannya dengan menanam kelapa sawit, padi, getah dan tanaman lain.

“Sebagai langkah permulaan mendapatkan semula tanah kami, kami cuba berurusan dengan Pejabat Daerah Lundu tetapi malangnya kami menemui jalan buntu,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak di sini.

Sidang media itu turut dihadiri Pengerusi DAP Tasik Biru Mordi Bimol.

Menurut Nanty, ekoran usaha mendapatkan bantuan Pejabat Daerah Lundu tidak berjaya penduduk kampung terjejas memfailkan kes itu di Mahkamah Tinggi pada 25 November 2011.

“Bagaimanapun pada 7 Mac 2014, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa walaupun kami berhak ke atas tanah itu sebagai tanah kampung kami mencari makan tetapi syarikat berkenaan telah diberikan hak oleh kerajaan memajukannya… kami kalah dalam tuntutan itu,” ujarnya.

Ekoran keputusan itu kata-nya, mereka mengemukakan rayuan di Mahkamah Tinggi dan mahkamah mengarahkan agar syarikat berkenaan menghentikan sementara aktivitinya sehingga rayuan kes selesai.

“Malangnya syarikat itu tidak mengendahkan arahan mahkamah sebaliknya mereka terus melakukan kerja-kerja pembakaran sehingga me-rebak ke kebun kelapa sawit kami.

“Kira-kira 100 pokok kelapa sawit saya musnah dijilat api, begitu juga kebun Tay Guan Lai, 49, 800 pokok kelapa sawitnya yang mula berbuah turut terjejas,” katanya sambil menambah, beberapa laporan polis telah dibuat berhubung kejadian itu.

Rentetan kejadian itu, kira-kira 30 penduduk dari Kampung Sebak Dayak dan Siru Dayak mengadakan perhimpunan aman sebagai membantah tindakan sebuah syarikat menceroboh tanah mereka pada Ahad lepas.

“Kami amat berharap Ke-tua Menteri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Datu Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem membantu kami menyelesaikan masalah ini, tambahan kami telah memaklumkan secara bertulis mengenai perkara ini seba-nyak dua kali kepada beliau,” tambahnya.

Sementara itu, Mordi berkata DAP Sarawak diketuai Pengerusinya Chong Chieng Jen akan mengadakan dialog dengan penduduk kampung terbabit minggu depan bagi mengetahui secara lebih terperinci masalah dihadapi mereka.

“Kami (DAP) perlu menge-tahui semua permasalahan penduduk yang terjejas sebelum mengambil sebarang keputusan,” katanya.

Advertisement