Anda di sini

Penduduk dinasihati kunci rumah ketika pergi tunai solat tarawih

Advertisement

SRI AMAN: Penduduk Islam di sini dinasihati agar sentiasa memastikan rumah masing-masing dalam keadaan dikunci ketika pergi menunaikan solat sunat tarawih di masjid atau surau sepanjang Ramadan ini.

Ketua Unit Skim Rondaan Sukarela (SRS) Zon Tengah dan Selatan, Kampung Muhibbah, Sri Aman Ramli Abu Sera berkata ini penting bagi mengelak pihak tidak bertanggungjawab menceroboh masuk ke rumah penduduk.

Katanya penjenayah cekap mengintai peluang melaksanakan kegiatan mereka terutama ketika bulan Ramadan ini.

“Saya menasihati semua penduduk agar tidak leka berhubung perkara ini dan amalkan sikap berwaspada mulai sekarang agar kediaman tidak menjadi mangsa pecah rumah,” katanya pada Program Jom Ronda SRS bulan Ramadan 2014 di sini malam kelmarin.

Sementara itu, SRS Zon Tengah dan Selatan, Kampung Muhibbah Sri Aman akan terus mempertingkatkan rondaan di kampung-kampung demi membendung aktiviti tidak sihat pada bulan Ramadan ini.

Ramli turut memohon kepada ‘orang luar’ agar menghormati sambutan Ramadan dengan tidak melakukan sebarang aktiviti tidak bermoral di tempat mereka.

Dalam perkembangan sama, dua Penolong Pegawai Perpaduan Sri Aman Muhammad Mahdi Mohd Mokhtar dan Mohd Firdaus serta Pengerusi KRT Zon Satu kampung tersebut Latipah Mantali dan sembilan anggota menyertai rondaan itu.

Advertisement