Anda di sini

Pemilik gerai bazar Ramadan dinasihati utamakan kebersihan

Advertisement

BINTULU: Setiap pemilik gerai bazar Ramadan di sini dinasihati agar sentiasa mengutamakan aspek kebersihan sama ada dari segi cara penyediaan atau tapak disediakan bagi memastikan makanan atau minuman dijual selamat dan sihat untuk dimakan.

Residen Bahagian Bintulu Muhammad Yakup Kari berkata dengan mengutamakan aspek penyediaan makanan bersih ia akan menjaga nama baik bazar Ramadan sebagai tempat umat Islam menunaikan ibadah puasa serta kaum lain mendapatkan makanan dan minuman.

“Justeru, saya mengingatkan semua peniaga supaya menguatamakan aspek kebersihan serta corak penyediaan makanan segar bagi membantu menaikkan nama bazar Ramadan sebagai gerai yang menyediakan makanan dan minuman kelas pertama,” katanya ketika merasmikan bazar Ramadan di Esplanade Bintulu semalam.

Jelasnya, rata-rata peniaga di tapak bazar Ramadan di sini mengutamakan aspek kebersihan dan ia harus dikekalkan sampai bila-bila dan jadikan amalan rutin tahunan dalam usaha menjaga nama baik bazar Ramadan.

“Sebaik-baiknya, para peniaga harus mengamalkan konsep kejujuran serta menjual makanan yang diniagakan dengan pada kadar harga berpatutan setimpal dengan kuantiti yang dikehendaki oleh setiap pelanggan,” ujarnya.

Muhammad Yakup turut menggesa orang ramai yang membeli makanan dan minuman di bazar Ramadan agar tidak membuang bekas makanan dan minuman di merata- rata tempat sebaliknnya membuangnya ke dalam tong sampah yang disediakan.

Terdahulu, Pengurus Kanan (Bahagian Environment) Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) Wan Ibrahim Wan Ali berkata pada tahun ini BDA menyediakan tiga tapak bazar Ramadan iaitu di Bintulu Esplanade, Assyakirin Commercial Centre dan Pusat Sukan Kidurong.

Bazar Ramadan yang bermula 29 Jun hingga 27 Julai ini mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat pelbagai kaum di sini untuk mendapatkan menu istimewa sempena bulan yang mulia ini.

Advertisement