Anda di sini

Messi pancar sinar Argentina

Advertisement

Pamer persembahan keseluruhan lebih baik apabila bertemu Switzerland di Sao Paulo

SAO PAULO, Brazil: Golgol Lionel Messi membawa Argentina ke peringkat 16 terakhir Piala Dunia, tetapi mereka pasti mahu mempamerkan persembahan keseluruhan yang lebih baik apabila bertemu Switzerland jam 12 tengah malam ini (Rabu 2 Julai waktu Malaysia).

Pemain terbaik dunia sebanyak empat kali berbadan kecil itu akhirnya menyinar untuk negaranya apabila dia menjaringkan empat daripada enam gol mereka bagi membantu Argentina layak setelah menduduki tempat teratas Kumpulan F.

Namun, Argentina memerlukan jaringan kemenangan lewat Messi untuk mengatasi Iran 1-0 dan mereka turut dibolosi dua gol sebelum mereka menewaskan Nigeria 3-2, sekali gus menurunkan jangkaan bagi kejuaraan dunia ketiga.

Mereka akan menentang pasukan lawan mereka yang paling sukar setakat ini iaitu Switzerland yang menyumbat tujuh gol melepasi pasukan lawan peringkat kumpulan, Ecuador, Perancis dan Honduras, termasuk tiga daripada Xherdan Shaqiri.

“Sekarang kami tidak boleh membuat sebarang kesilapan kerana sebarang kesilapan akan menyaksikan kami tersingkir,” kata Messi memberikan amaran selepas Argentina mara peringkat kumpulan.

“Tiada yang lebih indah berbanding menjadi juara dunia, untuk mencapainya bersama negara saya,” katanya.

Perkara yang memihak kepada Argentina ialah lebih 100,000 penyokong mereka dijangka akan membanjiri Sao Paulo menjelang perlawanan pada tengah malam ini termasuk ramai di Corinthians Arena.

Namun mereka terpaksa menangani ketiadaan penyerang Manchester City Sergio Aguero yang tidak dapat bermain akibat kecederaan otot selepas dikeluarkan pada babak pertama ketika menentang Nigeria.

Messi dan jurulatih Alejandro Sabella mengakui Argentina masih belum mencapai kemuncak prestasi tetapi mereka sekarang berharap untuk meningkatkan kehangatan dalam kempen mereka yang lambat panas.

“Kami mengutip sembilan mata tetapi kami sentiasa boleh bermain dengan lebih baik,” kata Sabella.

Bekas jurulatih Bayern Munich, Ottmar Hitzfeld pasti mengalu-alukan perlawanan menentang salah satu pasukan pilihan untuk memenangi kejohanan sebelum ini dalam apa yang dia kata adalah kejohanan terakhirnya sebelum dia bersara.

Walaupun dibelasah 5-2 oleh Perancis, Switzerland sudah menewaskan pasukan lawan dari Amerika Latin selepas kemenangan 2-1 dan 3-0 masing-masing ke atas Ecuador dan Honduras.

Serangan mereka akan diterajui salah seorang pemain yang menyerlah di kejohanan ini, Shaqiri, 22 tahun, yang menjaringkan ketiga-tiga gol ketika menentang Honduras untuk mengesahkan kelayakan Switzerland.

Pemain sayap itu, pemain Swiss pertama yang menjaringkan beberapa gol dalam satu perlawanan Piala Dunia sejak 1954, telah menarik perhatian selepas memulakan hanya 10 perlawanan liga untuk Bayern Munich pada musim ini.

Switzerland tidak pernah menewaskan Argentina dalam enam cubaan dan mereka amat mengenali Messi yang menjaringkan hatrik pertamanya pada peringkat antarabangsa dalam kemenangan persahabatan 3-1 Argentina di Bern pada Februari 2012.

“Kami akan menyediakan diri untuk menentang Messi selain pemain mereka yang lain tetapi sudah tentulah dia memiliki kualiti untuk menentukan perlawanan,” kata penjaga gol, Diego Benaglio.

“Ia pasti agak sukar untuk mengekangnya tetapi bukan dia sahaja pemain yang berbahaya dalam sebuah pasukan yang sangat bagus.

“Argentina bukan hanya berkisar sekitar Messi sahaja walaupun dia adalah superstar mereka. Namun kita tahu segalanya mengenai kemahiran yang dimilikinya dan melihatnya dengan begitu kerap sekali selama ini dapat membantu kami,” katanya.

Pilihan Hitzfeld di barisan serangan telah dikurangkan oleh kecederaan ligamen lutut krusiat yang dialami dalam latihan oleh penyerang Mario Gavranovic seorang pemain simpanan yang tidak digunakan dalam ketigatiga perlawanan kumpulan. — AFP

Advertisement