Anda di sini

Mawan mungkin diangkat sebagai presiden TERAS

Advertisement

Oleh Agnes Tugong //

Beliau dakwa terima sokongan kuat penyokong parti untuk menerajui TERAS pada TGA 26 Julai ini

KOTA SAMARAHAN: Tan Sri William Mawan Ikom membayangkan beliau berkemungkinan diangkat sebagai presiden Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS) pada pemilihan dan Perhimpunan Agung Tiga Tahun Sekali (TGA) pertama parti itu 26 Julai ini.

Bekas presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) yang mengumumkan keluar parti dan menyertai TERAS pada Mei lepas turut mendakwa menerima sokongan kuat daripada penyokong parti untuk beliau menerajui TERAS.

“Saya gembira kerana diberi kepercayaan dan sokongan awal yang memberangsangkan untuk menerajui TERAS yang akan diputuskan secara rasmi pada pemilihan dan TGA pertama yang akan berlangsung di ibu pejabat parti 26 Julai ini.

“Saya bukannya kemaruk sangat untuk menjadi presiden tetapi setakat ini tiada manamana pihak atau individu yang membantah nama saya diangkat bagi jawatan tertinggi parti itu nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Pelancaran Penubuhan Exco Protem TERAS Bahagian N.15 Muara Tuang di kediaman Pengerusi Protemnya Edward Brandah Madi di Lorong Panglima Kala Off Jalan UiTM, Samarahan dI sini malam kelmarin.

Mawan yang juga Menteri Kanan dan Menteri Pembangunan Sosial menambah, 26 Julai nanti merupakan permulaan baharu bagi TERAS untuk mengatur langkah ke hadapan.

“Saya percaya tindakan mereka yang keluar daripada SPDP dan menyertai TERAS bukan kerana mengikut langkah saya semata-mata tetapi kerana mahu politik yang baharu.

“Ini adalah permulaan bagi kita dalam TERAS dan saya mahu anda semua mempunyai semangat kuat untuk terus bersama TERAS sama ada pada masa sukar mahupun senang.

“Jangan pandang ke kiri, kanan, belakang lagi sebaliknya terus mara ke depan,” tambahnya.

Pada majlis tersebut, Mawan turut menjelaskan kepada penyokong-penyokong TERAS yang hadir bahawa TERAS adalah sebuah parti yang menyokong penuh Barisan Nasional (BN).

“Anda penyokong-penyokong TERAS harus mengetahui perkara ini, TERAS merupakan penyelesaian kepada perbalahan yang berlaku dalam SPDP dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).

“Kami wakil-wakil rakyat dalam TERAS tidak pernah keluar BN tetapi menyertai TERAS untuk menyelesaikan kemelut dalam SPDP dan SUPP sekali gus menguatkan lagi BN,” ujarnya.

Mengulas mengenai majlis tersebut, Mawan berharap penubuhan exco protem tersebut akan berjalan dengan lancar seperti yang dirancang.

Beliau turut menyatakan rasa gembira dengan sokongan yang ditunjukkan oleh penduduk di N.15 Muara Tuang kepada beliau dan TERAS meskipun kawasan tersebut bukan di bawah beliau.

“Malam ini saya dapat melihat keikhlasan dan kesungguhan di wajah anda semua untuk bersama-sama dengan kami dalam TERAS tanpa paksaan atau desakan daripada manamana pihak.

“Saya harap segalanya akan berjalan lancar dan TERAS akan terus maju seperti yang diinginkan oleh kita semua,” katanya.

Advertisement