Anda di sini

Masalah dihadapi tuai rumah diketengah

Advertisement

Oleh Reno Benjamin //

Wong suarakan soal pelantikan, pembayaran elaun mereka pada mesyuarat kabinet

SIBU: Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Masyarakat Dato Sri Wong Soon Koh berjanji menyuarakan masalah dihadapi tuai-tuai rumah di sini terutama melibatkan soal pelantikan tuai rumah dan pembayaran elaun kepada ketua kaum terbabit.

Wong yang juga Menteri Kewangan Kedua berkata, beliau akan mengemukakan masalah tuai-tuai rumah itu pada mesyuarat kabinet semalam (Isnin).

“Pada Isnin kami mengadakan mesyuarat kabinet dan saya akan menyuarakan perkara ini kepada kabinet negeri.

“Dengan harapan isu pelantikan semula dan baharu tuai-tuai rumah serta kelewatan pembayaran elaun dapat diselesaikan,” katanya selepas merasmikan Majlis ‘Ngiling Bidai’ Persatuan Tuai Rumah Sibu (PTRS) di sini, malam kelmarin.

Hadir sama empat Setiausaha Politik Ketua Menteri iaitu Andrew Shilling, Pau Kiew Chuang, Romeo Christopher Tegong dan Tengku Gruna, Residen Bahagian Sibu Sim Kok Kee, Pemanca Stanley Geramong, Pengerusi PTRS Tuai Rumah Linus Melin Lembang dan pengerusi penganjur, Tuai Rumah Peter Tinggom Santap.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bawang Assan itu berkata, masalah pelantikan semula dan baharu tuai-tuai rumah serta kelewatan pembayaran elaun itu bukan hanya dihadapi tuai-tuai rumah di bahagian ini sahaja.

“Sebaliknya, ia melibatkan semua tuai rumah di seluruh Sarawak.

“Masalah ini juga telah dibincangkan pada mesyuarat kabinet sebelum ini,” jelas beliau.

Sebelum itu, Linus menyuarakan masalah dihadapi oleh tuai-tuai rumah di Sibu terutama berkaitan isu-isu terbabit.

Menurut Linus, beliau menerima banyak panggilan daripada rakan sejawat bertanyakan mengenai perkara terbabit lebih-lebih lagi pembayaran elaun bulanan.

“Diharap pihak berkuasa terutama kerajaan mendengar masalah dihadapi semua tuai rumah,” katanya sambil menambah, beliau tidak menerima elaun sejak November tahun lalu sehingga hari ini.

Linus memberitahu, PTRS kini mempunyai 150 ahli dan 142 adalah tuai rumah lelaki sementara selebihnya tuai rumah wanita.

Pada majlis sama, Wong turut mengumumkan geran sejumlah RM10,000 kepada PTRS bagi membantu persatuan terbabit menjalankan aktiviti mereka.

Advertisement